Rabu, 23 Oktober 2019 | 9:56pm
Kamarul Sharizam (gambar kecil) yang menjaga enam anaknya, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban selepas pulang menunaikan umrah, semalam. - NSTP/Adzlan Sidek

Bapa tunggal jaga enam anak meninggal dunia selepas pulang umrah

PORT DICKSON: Seorang bapa tunggal yang menjaga enam anaknya, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban selepas pulang menunaikan umrah, semalam.

Kamarul Sharizam Kamarudin, 40, disahkan meninggal dunia pada jam 5.05 petang sebaik tiba di hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas mengadu tidak sihat.

Adiknya Mohd Zatullah, 27, berkata dia menjemput arwah yang baru pulang menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 2 petang.

“Ketika itu abang sudah kelihatan tidak sihat lalu saya terus bawanya ke HTJ untuk rawatan. Sebaik tiba di hospital, saya pimpin abang dan meletakkannya di atas kerusi roda.

“Namun, abang tiba-tiba rebah dan pegawai perubatan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepadanya sebelum dia disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Zatullah yang juga pengasas Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina, Seremban berkata, arwah abangnya menerima tajaan menunaikan umrah itu dan dia ke Tanah Suci bersama seorang rakan.

“Arwah amat gembira apabila dapat menunaikan umrah dan sepanjang arwah di sana, saya mengambil tanggungjawab menjaga enam anaknya yang berusia dua hingga 11 tahun.

“Saya tidak sangka dia akan ‘pergi’ selepas tiga jam pulang ke tanah air,” katanya yang turut memaklumkan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, jam 11 pagi tadi.

Pada Ogos lalu dilaporkan Kamarul Sharizam yang hidup susah, perlu menjaga enam anaknya sendiri di Taman Politeknik, di sini.

Dia menghadapi masalah kesihatan yang menyebabkan tidak mampu bekerja selain perlu membesarkan semua anaknya selepas bercerai dengan isterinya dua tahun lalu.

Disebabkan itu, dia mengambil keputusan menyerahkan empat anaknya kepada rumah kebajikan demi masa depan mereka.

Berita Harian X