Sabtu, 19 Oktober 2019 | 4:16pm
PENERIMA Anugerah Pelajaran Diraja, Nur Athirah Rushami Zien (tengah), Loh Mei Chwin (kiri) dan penerima Pingat Emas Canselor, Muhammad Taqi’uddin Mohd Hamzah Murghayah menunjukkan sijil dan pingat masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, hari ini. - Foto Amran Hamid
PENERIMA Anugerah Pelajaran Diraja, Nur Athirah Rushami Zien (tengah), Loh Mei Chwin (kiri) dan penerima Pingat Emas Canselor, Muhammad Taqi’uddin Mohd Hamzah Murghayah menunjukkan sijil dan pingat masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, hari ini. - Foto Amran Hamid

Jadual padat tak halang graduan kacukan Melayu, Cina dan India raih keputusan cemerlang

SINTOK: Jadual padat dengan aktiviti sukarelawan tidak menghalang graduan kacukan Melayu, Cina dan India cemerlang dalam pelajaran sekali gus menerima anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Muhammad Taqi’uddin Mohd Hamzah Murghayah, 28, menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam dengan kepujian Purata Mata Kumulatif (PMK) 3.92.

Katanya, kejayaan yang dikecapi tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan pengorbanan tinggi sebagai seorang pelajar, anak dan pemimpin dalam aktiviti di universiti.

“Saya hanya tidur empat jam sehari namun dalam masa yang sama saya turut mengamalkan petua nenek saya berbangsa Cina iaitu dengan mengambil gingko biloba yang dipercayai membantu menguatkan ingatan serta vitamin B untuk tenaga.

“Ia sedikit sebanyak membantu saya fokus semasa di dalam kuliah dan mengikuti aktiviti sukarelawan sehingga lewat malam,” katanya yang juga anak sulung daripada 10 beradik.

Sementara itu, penerima anugerah Pelajaran Diraja, Nur Athirah Rushami Zien, 23, berkata beliau tidak mempunyai resepi kejayaan yang luar biasa kecuali sentiasa memberi fokus di dalam kelas.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan itu menamatkan pengajian dengan PMK 3.99.

Katanya biarpun program pengajian diikutinya baru diperkenalkan, dia sentiasa gigih untuk cemerlang setiap semester meskipun sibuk dengan aktiviti kokurikulum.

“Apabila kursus baru, ia agak sukar bagi pelajar dan pensyarah itu sendiri untuk membawa subjek yang perlu dipelajari, apatah lagi hanya 13 orang yang mengikuti kursus ini, dengan kerjasama baik daripada rakan sekelas serta pensyarah, alhamdulillah segalanya dipermudahkan,” katanya yang berasal dari Perlis.

Muhammad Taqi’uddin dan Nur Athirah serta seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Loh Mei Chwin, 23, (Ijazah Sarjana Muda Perakaunan) menerima anugerah berkenaan yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang juga Canselor UUM.

Turut berangkat Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Berita Harian X