Sabtu, 19 Oktober 2019 | 3:12pm
RAKAMAN video tular seorang jurupandu selam dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika membawa dua pelancong asing melakukan selaman di Pulau Timba-Timba, Semporna. - Foto ihsan Facebook Semporna Professional Divers Associatan

Kegiatan jurupandu selam tidak berlesen perlu dipantau

SEMPORNA: Demi mengaut keuntungan berganda, segelintir pengusaha pelancongan dikesan menggunakan khidmat jurupandu selam tidak bertauliah ketika mengendalikan aktiviti skuba di kawasan perairan daerah ini hingga mengabaikan keselamatan pelancong.

Melalui satu rakaman video yang tular baru-baru ini, seorang jurupandu selam dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika membawa dua pelancong asing melakukan selaman di Pulau Timba-Timba, di sini.

Lebih membahayakan, jurupandu selam itu tidak membawa tangki oksigen sendiri, sebaliknya hanya `berkongsi’ tangki oksigen dibawa pelancong berkenaan.

Timbalan Presiden Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA), Dahlan Mazin, berkata tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan hanya mengabaikan aspek keselamatan, bahkan boleh mengancam, nyawa jurupandu selam dan pelancong berkenaan.

Katanya, kes itu bukan pertama kali berlaku, sebaliknya sudah dikesan sejak dua tahun lalu apabila ada pengusaha pelancongan di daerah ini menggunakan khidmat jurupandu selam tidak bertauliah semata-mata mahu mendapatkan keuntungan berganda menggunakan cara mudah.

“Hasil siasatan kami mendapati sebilangan pengusaha pelancongan menggunakan khidmat jurupandu selam tidak bertauliah dengan bayaran serendah RM15 hingga RM20 berbanding RM90 sehingga RM200 (jurupandu selam bertauliah) mengikut pakej ditawarkan.

“Ini mendorong mereka (pengusaha pelancongan) mengambil peluang mengaut keuntungan tanpa memikirkan risiko serta mengabaikan aspek keselamatan,” katanya.

Katanya, persatuan penyelam di daerah ini pernah mengadakan pertemuan dengan pengusaha pelancongan berhubung isu itu, namun kegiatan sama masih berulang.

“Yang kita khuatir, jika berlaku kemalangan hingga membabitkan kematian. Ini sudah tentu memberi kesan buruk kepada sektor sektor pelancongan di Semporna, khususnya aktiviti menyelam yang menjadi tumpuan penyelam dari seluruh dunia.

“Justeru, kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dalam menangani masalah ini dengan mewujudkan akta berkaitan atau penggubalan undang-undang berkaitan, “ katanya.

Terdahulu, Dahlan mewakili SPDA membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berhubung rakaman video itu dan kegiatan jurupandu selam tidak bertauliah berkenaan.

Berita Harian X