Khamis, 17 Oktober 2019 | 3:05pm
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. - NSTP/Aizuddin Saad
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. - NSTP/Aizuddin Saad

Hutan Paya Laut terus dipelihara

SUNGAI PETANI: Kerajaan Persekutuan komited dalam memelihara dan memulihara kawasan Hutan Paya Laut apabila sebanyak 6.6 juta pokok ditanam sehingga Julai lalu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata RM54.9 juta diperuntukkan kerajaan sejak pelaksanaan program itu pada 2005.

“Peruntukan ini digunakan untuk penanaman dan penyelenggaraan tanaman pokok bakau serta spesies yang sesuai, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemantauan dan program pengembangan serta kesedaran awam.

“Sehingga Julai lalu, 2,887.63 hektar kawasan pesisiran pantai di seluruh negara sudah ditanam dengan 6.6 juta pokok melalui Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Bersesuaian di Pesisiran Pantai Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Kompleks Pelancongan Sungai Merbok, Jeti Semeling, di sini.

Pada program yang disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu, turut berlangsung pelancaran Buku Rancangan Pengurusan Hutan Paya Laut Tahun 2020-2029 Negeri Kedah, penyerahan anak pokok kepada wakil masyarakat dan sekolah serta pameran.

Dr Xavier berkata inisiatif untuk mengadakan program itu dilaksanakan selepas tragedi tsunami pada Disember 2004.

“Kesannya dapat kita lihat sendiri melalui kejadian tsunami 15 tahun lalu yang turut melanda Kedah, khususnya di kawasan Pantai Kuala Muda.

“Hutan Paya Laut memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan perkhidmatan ekosistem termasuk sebagai benteng semula jadi untuk memecah, menahan dan mengurangkan kesan tiupan angin serta pukulan ombak laut,” katanya.

Beliau juga menyatakan pengisytiharan sambutan itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem Hutan Paya Laut.

“Ini termasuk kawasan pesisiran pantai bagi memastikan kelangsungan peranan serta sumbangannya kepada kesejahteraan masyarakat sejagat,” katanya.

Berita Harian X