Rabu, 16 Oktober 2019 | 7:04pm
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow berucap pada majlis dialog berkaitan penggunaan pengangkutan awam anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) di Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow berucap pada majlis dialog berkaitan penggunaan pengangkutan awam anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) di Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad

Pulau Pinang rangka formula bantu nelayan terjejas

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri sedang merangka satu formula jangka panjang sebagai langkah dalam mengimbangi kerisauan nelayan berhubung projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya prihatin terhadap kebimbangan yang dibangkitkan itu dan sedang mencari mekanisme bersesuaian untuk menyelesaikannya demi kepentingan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri mengamalkan pendekatan terbuka dan sentiasa mendengar pandangan umum dalam memastikan golongan berkenaan mendapat manfaat sewajarnya daripada projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu.

“Kita akan lihat dari sudut mewujudkan dana yang akan dapat memberi pendapatan jangka masa panjang kepada golongan terjejas, berbanding pemberian tunai secara sekali beri (one-off).

“Ini kerana jika kita beri cara itu (one-off), bimbang wang itu nanti cepat saja habis dibelanjakan.

“Sebab itu kita mahu cari satu formula, mungkin pemberian secara berperingkat sehingga projek siap supaya tawaran diberikan itu nanti mampu beri manfaat jangka masa panjang kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis dialog berkaitan penggunaan pengangkutan awam anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen PKR Pulau Pinang baru-baru ini yang memberitahu sudah memaklumkan kepada kerajaan negeri supaya memberi perhatian terhadap persepsi kawasan Melayu yang didakwa kian terhakis berikutan projek penambakan laut kontroversi di negeri ini.

Anwar turut menafikan pandangan dan pendiriannya tidak konsisten berkenaan projek PSR yang dibantah NGO dan kumpulan nelayan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, apa yang menjadi keutamaan kerajaan megeri adalah menjaga kepentingan rakyat dalam memastikan mereka tidak terjejas sekiranya projek itu berjalan kelak.

“Anwar cakap, beliau memang tidak memberi sokongan atau bantahan (terhadap projek PSR) dan cuma minta kerajaan negeri menjaga kepentingan rakyat supaya tidak terlalu terjejas jika projek ini berjalan,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Anwar hadir bertemu komuniti nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu di sini, untuk mendengar keluhan nelayan dan penduduk setempat yang akan terjejas akibat projek PSR.

Ia susulan bantahan aman yang diadakan lebih 100 nelayan di Parlimen beberapa hari sebelum itu, yang menolak projek tambakan laut untuk membina tiga pulau buatan.

Pelaksanaan PSR adalah membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar, yang dijangka mampu menyaingi Marina Bay di Singapura.

Ia dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang, antaranya pembinaan LRT, monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya.

Berita Harian X