Selasa, 15 Oktober 2019 | 6:25pm
KETUA Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij dalam sidang media mengenai projek percubaan bas perantara LRT. - Foto ihsan Rapid KL
KETUA Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij dalam sidang media mengenai projek percubaan bas perantara LRT. - Foto ihsan Rapid KL

Rapid Bus lancar bas perantara LRT

SUBANG JAYA: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menambah baik bas perantara dengan memperkenal perkhidmatan bagi laluan Transit Aliran Ringan (LRT) bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij, berkata perkhidmatan percubaan selama tiga bulan itu membabitkan laluan hab stesen LRT USJ 7 ke Pangsapuri SS19, melalui USJ3 dan USJ4.

Katanya, perkhidmatan terbaru itu selaras dengan transformasi pengangkutan awam berkelas dunia oleh Rapid Bus.

Beliau berkata, bas bagi laluan berkenaan menampilkan wajah baru atau ‘bus wrapping’ (balutan bas) yang berlainan daripada bas sedia ada.

“Pengguna boleh menaiki bas ini untuk ke stesen LRT yang terdekat dan menyambung perjalanan mereka dengan perkhidmatan rel,” katanya dalam kenyataan di sini.

Muhammad Yazurin berkata, projek yang mendapat sokongan pejabat Dewan Undangan Negeri Subang Jaya itu sebahagian daripada usaha meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam Lembah Klang.

“Rapid Bus sememangnya sedang merancang untuk membuat percubaan bagi menambah baik perkhidmatan bas perantara LRT.

“Penjenamaan semula bas perantara LRT ini diilhamkan daripada kejayaan bas perantara Transit Aliran Massa (MRT) yang disambut baik penduduk di sekitar jajaran MRT,” katanya.

Berita Harian X