Isnin, 14 Oktober 2019 | 4:31pm
Zolkipli menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta pada Majlis Penutupan Pameran dan Promosi Produk Hutan Bukan Kayu (NTFP) di Bintulu. - NSTP/Erika George

Produk bukan kayu jana pendapatan penduduk

BINTULU: Pengusaha kraftangan rumah panjang di Belaga dan Tatau mendapat manfaat dari Pameran dan Promosi Produk Hutan Bukan Kayu anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton, berkata program itu inisiatif oleh Pejabat SFC Wilayah Bintulu bagi membantu serta memperbaiki sosial ekonomi masyarakat tempatan.

“Sejak program bermula dari Jumaat lalu, ia telah berjaya menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk membeli kraftangan tempatan yang unik serta asli ini,” ujarnya semasa berucap pada majlis penutupan pameran di Taman Negara Similajau di sini, semalam.

Program itu disertai oleh tujuh buah rumah panjang dari Kaum Iban, Kayan dan Penan dari Long Lidem dan Long Tanyit, Belaga, Rumah Radin Sangan, Rumah Engkulau Kakus, Rumah Bangun dan Rumah Nanang Sangan, dan Uma Bakui Ukap, Sungai Asap Belaga.

Zolkipli berkata, program itu akan diteruskan pada masa hadapan dalam usaha membantu penduduk di rumah panjang kawasan pedalaman meningkatkan pendapatan, sekaligus mengeluarkan mereka dari kemiskinan.

“Menjadi misi dan visi SFC selama ini bahawa kita tidak hanya sebagai badan yang menjaga serta mengurus hutan di negeri ini, namun dalam masa sama membantu penduduk tempatan mempromosi produk keluaran mereka,” ujarnya.

Katanya, peserta akan mendapat manfaat jika turut serta dalam aktiviti berkaitan dengan ekopelancongan seperti menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong, penyediaan makanan tempatan dan program inap desa.

Beliau berkata, produk kraftangan berasaskan hutan boleh menjadi sumber pendapatan baharu.

Berita Harian X