Ahad, 13 Oktober 2019 | 12:07am
Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar dan isteri, Puan Sri Suriati Md Sobri bergambar bersama pengantin, Wan Amirul Amsyar Jailani, 26, bersama pasangannya, Mimi Syaqirah Rosli, 26, sebaik selesai acara salam restu di DARC, semalam. - Foto ihsan Pembaca

Pengantin hidupkan amalan sunah berkuda

SHAH ALAM: Bukan hendak bermegah, sebaliknya hasrat menghidupkan sunah Rasulullah mendorong sepasang mempelai meraikan majlis resepsi perkahwinan mereka dengan diarak menaiki kereta kuda.

Justeru, pengantin lelaki, Wan Amirul Amsyar Jailani, 26, bersama pasangannya, Mimi Syaqirah Rosli, 26, memilih untuk mengabadikan hari bersejarah mereka di Denai Alam Recreational & Riding Club (DARC) di sini, petang tadi.

Ketika meraikan pengantin pada majlis berkonsepkan ala Inggeris itu, kira-kira 1,000 tetamu berpeluang mengenali sukan berkuda dengan lebih dekat dan bagi yang bersedia, menunggang kuda yang disediakan.

Wan Amirul Amsyar Jailani, 26, bersama pasangannya, Mimi Syaqirah Rosli, 26, menaiki kereta kuda pada majlis meraikan pengantin di DARC, semalam. - Foto ihsan Pengantin

Wan Amirul Amsyar berkata beliau bersama isterinya pernah menyertai latihan asas menunggang kuda di kelab itu pada awal tahun ini dan mula menyukai sukan lasak itu.

“Bukan saja dapat menunggang kuda, di sini juga kami dapat belajar memanah. Kedua-dua ini adalah sunah Rasulullah yang patut kita ikuti.

“Saya pernah terjatuh ketika menunggang kuda. Taklah sakit sangat. Selepas itu, saya semakin selesa menunggang,” katanya ketika ditemui pada majlis resepsi perkahwinannya.

Hadir sama, Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Tan Sri Ismail Omar; Pengarang Urusan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Manja Ismail; Ketua Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid.

Mengenai perkahwinannya, Wan Amirul Amsyar berkata, beliau mengenali Mimi ketika sama-sama belajar di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Katanya, biarpun tidak lagi bertugas sebagai wartawan selepas Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad menutup operasinya sehingga akhir bulan ini, beliau akan berusaha mencari pekerjaan lain bagi menunaikan tanggungjawab sebagai suami.

“Ini ujian awal saya sebaik bergelar suami. Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku ke atas saya dan rakan-rakan saya di Kosmo!. Saya yakin dengan rezeki serta ketentuan Allah ke atas hamba-Nya yang sabar dan berusaha tanpa putus asa,” katanya.

Berita Harian X