Sabtu, 12 Oktober 2019 | 9:35pm
Lawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) yang mahu bertindak atas keadaan rumah mereka yang menyedihkan di projek rumah mampu milik di kondominium The Rise, Jalan S.P. Chelliah, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
Lawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) yang mahu bertindak atas keadaan rumah mereka yang menyedihkan di projek rumah mampu milik di kondominium The Rise, Jalan S.P. Chelliah, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Pulau Pinang optimis dapat peruntukan tahun depan

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri optimis untuk mendapatkan dana daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai sebahagian projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata biarpun ‘permintaannya’ itu tidak tunaikan semalam, pihaknya masih berharap ada khabar gembira buat Pulau Pinang dalam bajet tahun depan sejajar dengan hasrat untuk memperkasakan infrastruktur pengangkutan di negeri ini.

“Bajet (Belanjawan 2020) ini bajet tahunan, mungkin sebab itu tak dapat.

“Apapun, kerajaan negeri berharap akan mendapatkannya tahun depan kerana kerangka projek di bawah PIP ini akan termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Infrastruktur pengangkutan amat penting. Jadi, kita harap akan dapat peruntukan dalam RMK-12 atau belanjawan seterusnya,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Hari Terbuka Gereja Salvation Army di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri pada Ogos lalu menghantar permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat bagi merayu dana RM10 bilion untuk membiayai sebahagian PIP Pulau Pinang.

Kon Yeow sebelum ini pernah memaklumkan Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan semula saiz projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) jika mendapat dana daripada kerajaan pusat untuk membiayai dua projek PIP.

Dua projek itu adalah pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) dan Lebuhraya Pan Island Link (PIL) yang dianggarkan bernilai RM20 bilion.

Selain itu, kerajaan negeri turut bercadang menjalankan projek PSR membabitkan pembinaan tiga pulau buatan dengan keluasan lebih 2,600 hektar untuk membiayai PIP, dianggar bernilai RM49 bilion, bagaimanapun projek mega itu mendapat tentangan pelbagai pihak dengan golongan nelayan tradisi di negeri ini dikatakan akan paling teruk terjejas.

Sementara itu, mengulas mengenai penyeragaman tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang, Kon Yeow berkata pengumuman itu sememangnya dinantikan kerana permintaan itu sudah lama disuarakan pihak industri di Batu Kawan dan Bayan Lepas.

“Pengurangan kadar tol kepada RM7 ini bukan saja dapat mengurangkan beban pekerja malah, membantu mengurangkan kesesakan trafik di Jambatan Pertama.

“Ini berikutan masih ramai menggunakan Jambatan Pertama untuk ke tempat kerja disebabkan kadar tolnya yang lebih rendah,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 mengumumkan penyeragaman tol di Jambatan Kedua daripada RM8.50 kepada RM7, sama seperti di Jambatan Pertama bermula tahun depan.

Berita Harian X