Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:08pm

25 sambungan haram bekalan air ditemui di Kampung Suang Parai

KOTA KINABALU: Paip utama ditebuk untuk menyambung hos sebelum dikimpal semula manakala sambungan hos ditutup menggunakan kain atau disembunyikan dalam semak.

Itu antara taktik individu tidak bertanggungjawab yang melakukan penyambungan haram bekalan air sebelum dipotong dalam operasi khas di Kampung Suang Parai, di sini hari ini.

Operasi bermula jam 9 pagi itu berjaya menemui dua lokasi penyambungan haram dan terdapat 25 sambungan hos yang mampu membekalkan air secara haram kepada kira-kira 1,000 rumah di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Datuk Amarjit Singh, berkata operasi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai bahawa sejak kebelakangan ini berlaku tekanan air rendah bagi kawasan yang menerima bekalan air dari tangki Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, hasil pemeriksaan didapati loji berfungsi mengikut spesifikasi dan tiada masalah tetapi apabila diperiksa dalam takungan, ia mempunyai tahap takungan yang rendah dan mencurigakan.

“Kemudian, saya kemudian mengarahkan Unit Penguatkuasaan JANS melakukan pemeriksaan selama dua minggu dan mendapati banyak penyambungan haram dilakukan di kawasan berkenaan.

“Kita berjaya mengenal pasti dua lokasi dan kita mendapati ada 25 sambungan haram,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Amarjit berkata, tindakan melakukan penyambungan haram itu menyebabkan kerugian bukan saja kepada JANS, malah hasil kutipan kerajaan negeri.

“Bila berlaku penyambungan haram ini, kerajaan negeri rugi dari segi kutipan hasil kepada kerajaan dan kedua, JANS rugi dalam kadar air tidak terhasil (NRW) sekali gus menyukarkan untuk menurunkan NRW,” katanya.

Beliau juga berharap supaya penduduk di kawasan itu tidak mencuri air atau merosakkan harta benda kerajaan kerana apabila paip utama ditebuk, ia akan menyebabkan kebocoran sehingga air melimpah keluar.

Kakitangan unit penguatkuasaan JANS memotong hos penyambungan haram bekalan air di Kampung Suang Parai, Kota Kinabalu. - NSTP/Edmund Samunting
Kakitangan unit penguatkuasaan JANS memotong hos penyambungan haram bekalan air di Kampung Suang Parai, Kota Kinabalu. - NSTP/Edmund Samunting
Penyambungan haram bekalan air dipotong dalam operasi khas di Kampung Suang Parai, hari ini. - NSTP/Edmund Samunting
Penyambungan haram bekalan air dipotong dalam operasi khas di Kampung Suang Parai, hari ini. - NSTP/Edmund Samunting
JANS menemui dua lokasi penyambungan haram dan terdapat 25 sambungan hos yang mampu membekalkan air secara haram kepada kira-kira 1,000 rumah di kawasan Kampung Suang Parai, Kota Kinabalu. - NSTP/Edmund Samunting

Berita Harian X