Rabu, 9 Oktober 2019 | 6:15pm
SETIAUSAHA Majlis Daerah Yong Peng, Azmee Awang (kanan) memerhatikan kerja-kerja pemeriksaan dokumen pekerja warganegara Pakistan, di Bandar Baru Ayer Hitam, di Batu Pahat. - Foto Adnan Ibrahim

Pemilik kedai permaidani disiasat sewa lesen kepada warga asing

BATU PAHAT: Enam pemilik kedai permaidani di sekitar Bandar Baru Ayer Hitam di sini, yang dipercayai menyewakan lesen perniagaan kepada pihak ketiga, termasuk warga asing disiasat Majlis Daerah Yong Peng (MDYP).

Ia susulan serbuan bersepadu penguat kuasa MDYP dan Jabatan Imigresen Johor kira-kira jam 3 petang semalam, yang turut menahan 10 lelaki warga Pakistan kerana bekerja di premis terbabit tanpa dokumen sah.

Operasi dilakukan berikutan aduan orang ramai berkenaan kehadiran warga Pakistan di Bandar Baru Ayer Hitam selain kewujudan beberapa premis perniagaan diusahakan warga negara asing sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat.

Yang Dipertua MDYP, Mohd Hanif Ahmad, berkata, 20 anggota penguat kuasa daripada kedua-dua agensi terbabit dalam operasi ini dan sebanyak lapan premis diperiksa, khususnya berkaitan lesen perniagaan dan pekerja yang bekerja di semua kedai menjual permaidani.

“Hasil operasi ini, kami menyiasat enam lesen yang dikeluarkan kepada pemilik premis kerana diragui statusnya sebelum tindakan susulan dilakukan.

“Semua warga Pakistan yang ditahan kerana pelbagai kesalahan berkaitan pasport dan permit kerja akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang di bawah kuasa Jabatan Imigresen” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Turut sama dalam operasi ini adalah Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Jabatan Imigresen Johor, Siti Mas Mohamed Yusoff; Setiausaha MDYP, Azmee Awang dan Penolong Pegawai Penguatkuasa MDYP, Mohd Zin Salleh.

Mohd Hanif menegaskan operasi seperti ini akan lebih kerap diadakan pada masa akan datang dan ia dilakukan bukan sahaja membabitkan premis warga asing tetapi juga kedai warga tempatan yang didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelbagai kesalahan dilakukan oleh peniaga di dalam kawasan pentadbiran MDYP boleh menyalurkan terus kepada pihak kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Berita Harian X