Rabu, 9 Oktober 2019 | 6:03pm
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ibrahim (dua dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Azahari Othman (dua dari kiri) melepaskan benih udang galah, di Sungai Belat. - Foto Mohd Rafi Mamat

200,000 benih udang dilepaskan ke Sungai Belat, Sungai Soi

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang melepaskan 200,000 benih udang galah di Sungai Belat dan Sungai Soi, di sini, hari ini dalam usaha membantu menambah sumber hidupan berkenaan yang sebelum ini banyak didapati di dua sungai itu.

Pelepasan benih udang itu juga bertujuan untuk menambah pendapatan nelayan darat di kawasan berkenaan yang kebanyakannya bergantung pendapatan pada hasil sungai.

Selain itu, aktiviti memancing juga akan terus aktif apabila terdapat banyak udang galah yang kini mendapat permintaan tinggi selain harganya yang mahal.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman berkata, dalam tempoh enam bulan hingga setahun udang galah yang dilepaskan hari ini boleh mencapai saiz sesuai untuk di makan, sekali gus aktiviti menangkap udang menjadi lebih rancak.

“Jabatan Perikanan Pahang mensasarkan melepaskan 1.5 juta pelbagai spesies benih ikan air tawar ke sungai, tasik dan empangan sepanjang tahun ini.

“Dalam tempoh sembilan bulan tahun ini lebih 800,000 benih ikan berjaya dilepaskan secara berperingkat di lokasi terpilih.

“Lokasi terbabit seperti di Tasik Bera, Empangan Klau, Raub, pelepasan turut dilakukan di Sungai KuantanSungai Pak Lali, Rompin, Sungai Semantan, Temerloh, Sungai Tembeling, Jerantut dan Sungai Pahang di Maran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program pelepasan benih ikan siakap dan udang galah disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pahang Datuk Mohd Zakaria Ibrahim di Sungai Belat, Sungai Kuantan dan Sungai Soi, di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Pahang, Datuk Zaman Azam Mohamad Sarif@Ahmad.

Pada program berkenaan sebanyak 1,000 benih ikan siakap dan 200,000 udang galah dilepaskan.

Tujuh spesies benih ikan air tawar utama yang dilepaskan ialah lampam sungai, kelah, kerai kunyit, sebarau, tengalan, baung dan temoleh atau temelian yang mencapai berat hingga 50 kilogram (kg) seekor.

Azahari berkata, program pelepasan benih udang galah selepas ini akan diadakan di Sungai Rompin yang sudah terkenal dengan pengeluaran ternakan itu di negeri ini atas beberapa faktor termasuk, kualiti air yang membolehkan hidupan berkenaan cepat membesar dan mudah membiak.

“Kebanyakan benih ikan yang dilepaskan di negeri ini dikeluarkan Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Jerantut dan PPA Bukit Tinggi, Bentong yang mengeluar benih ikan pelbagai saiz sepanjang tahun.

“Dua pusat PPA berkenaan yang mempunyai kakitangan berpengalaman luas dalam bidang pembiakan ikan turut bertanggungjawab membekal benih ikan utama seperti patin dan lampam sungai kepada beberapa negeri,” katanya yang akan terus berusaha menambah pengeluaran ikan air tawar di negeri ini.

Berita Harian X