Rabu, 9 Oktober 2019 | 4:56pm
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mansor Sudin (kanan) bersama Pengarah Politeknik Melaka (PMK), Charim Ibrahim (kiri) pada Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik, di Bandaraya Melaka. - Foto Nazri Abu Bakar

PMK tandatangan kolaborasi dengan 7 agensi

MELAKA: Politeknik Melaka (PMK) menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik bersama tujuh agensi dan pihak industri di negeri ini bagi perkongsian dua hala pengetahuan, kemahiran serta teknologi.

Pengarah PMK, Charim Ibrahim, berkata usaha mendepani revolusi industri 4.0 mendorong kampus terbabit mengambil langkah kreatif menjalin kerjasama politeknik-industri dalam bentuk pembangunan akademik dan penyelidikan inovasi.

Jelas beliau, ia merangkumi perkongsian kepakaran dan pelbagai usaha sama untuk kebaikan serta kemajuan kedua-dua pihak.

“Faedah utama melalui kolaborasi ini ialah perkongsian ilmu dan pengetahuan berkaitan keperluan, melalui pembabitan pakar daripada pihak industri untuk memastikan silibus selain kurikulum ditawarkan di PMK kekal relevan serta selari dengan perubahan teknologi semasa.

“Program ini turut membuka peluang penuntut untuk membuat latihan industri dan projek tahun akhir di industri berkenaan.

“Pada masa sama, ia membuka peluang untuk syarikat memilih graduan yang berpotensi untuk terus diserap berkhidmat dengan agensi masing-masing,” katanya.

Tambah Charim, tujuh industri dan agensi terbabit ialah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka, CTRM, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Jobs Malaysia, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Melaka serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKN).

Menurutnya, program berkenaan membolehkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu menjalin kerjasama dengan 49 syarikat di Melaka dan di luar Melaka setakat ini.

Majlis menandatangani sijil kerjasama dirasmikan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri merangkap Pengerusi Penasihat Industri Politeknik Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, M Azmi Ruzali.

Berita Harian X