Rabu, 9 Oktober 2019 | 4:47pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Kerajaan negeri, Persekutuan bincang isu Pusat Kualiti Alam

SEREMBAN: Kerajaan negeri kekal dengan pendirian memindahkan Pusat Kualiti Alam di Sendayan, di sini ke lokasi baharu supaya jauh dari kawasan penempatan awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata perkara itu kini dibincangkan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Semalam kita menghantar wakil berjumpa dengan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, untuk sampaikan pendirian kerajaan negeri berhubung (penempatan) Pusat Kualiti Alam.

“Buat masa ini tiada keputusan dibuat, namun kita berpegang kepada pendirian untuk memindahkan lokasinya seperti mana dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Aminuddin berkata proses pemindahan Pusat Kualiti Alam dijangka mengambil masa yang lama berikutan pelbagai proses perlu diteliti selain perancangannya membabitkan peringkat negeri dan Persekutuan.

“Keputusan untuk menutup atau memindahkan lokasi Pusat Kualiti Alam tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana kita juga perlu mengambil kira isu pengurusan bahan kimia yang membabitkan pelupusan sisa berjadual.

“Lesen (pengoperasian) baru disambung oleh kerajaan terdahulu selama 15 tahun bermula 2007, kita harap usaha untuk menutup atau memindahkannya dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri sudah mengadakan pertemuan bersama pihak pengurusan Pusat Kualiti Alam untuk membincangkan mengenai persiapan sekiranya berdepan detik kecemasan seperti kebakaran yang terjadi pada 2 Oktober lalu.

Kejadian itu juga masih dalam kajian untuk kita kenal pasti kesan selepas kebakaran itu terhadap masyarakat setempat yang menetap di kawasan berhampiran.

“Kita sudah adakan pertemuan untuk membincangkan perkara yang harus diberi keutamaan (sekiranya berlaku insiden seumpamanya) terhadap penempatan awam termasuk sekolah yang berhampiran,” katanya.

Berita Harian X