Rabu, 9 Oktober 2019 | 4:33pm
KETUA Menteri, Adly Zahari bertukar dokumen dengan Pengarah Delta Diversified Sdn Bhd, Tee Kai Loon pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dengan pemaju, Delta Diversified Sdn Bhd, diadakan di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

14 RMM baru dibina di Batu Berendam

AYER KEROH: Kerajaan negeri membina 14 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dalam kawasan bandar bagi membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah.

RMM yang dibina atas kawasan seluas 0.368 hektar di Mukim Batu Berendam, di sini merangkumi 10 unit rumah teres setingkat berkeluasan 20 X 65 kaki persegi berharga RM180,000 serta empat unit lot hujung rumah jenis sama dan lot tanah besar berharga RM200,000.

Majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dengan pemaju, Delta Diversified Sdn Bhd, diadakan di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Ia disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari dan Pengarah Eksekutif LPM, Saleh Mohd Dom bersama Pengarah syarikat terbabit, Tee Kai Loon dan Firdaus Faridza Abdul Samat.

Adly berkata pelaksanaan projek berkenaan memberi peluang kepada masyarakat di negeri ini untuk memiliki kediaman selesa lagi murah.

Katanya, ia tidak termasuk RMM yang sedang dirancang untuk dibangunkan di beberapa lagi kawasan strategik di negeri ini.

“Sehingga kini, LPM sudah menyiapkan 3,754 unit RMM, 16,599 lagi masih dalam pembinaan dan 17,872 unit sedang dirancang untuk dibangunkan.

“Saya yakin usaha itu akan menjadikan Melaka kekal sebagai sebuah negeri yang menyediakan rumah paling mampu dimiliki,” katanya.

Berita Harian X