Rabu, 9 Oktober 2019 | 3:53pm
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah menghadiri Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, semalam. - Foto Norasikin Daineh

Enam daerah penyumbang peningkatan indeks jenayah di Sabah

KOTA KINABALU: Polis Sabah mengenal pasti enam daerah yang menyumbang kepada peningkatan kadar indeks jenayah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata perkembangan itu perlu dipandang serius, malah beliau mahu semua ketua polis di daerah berkenaan mencari jalan penyelesaian terbaik.

Tanpa menamakan daerah berkenaan, beliau turut mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Sabah merangka mekanisme bersesuaian bagi menurunkan kadar indeks jenayah di kesemua daerah berkenaan.

“Kita perlu bertindak segera, termasuk bersikap lebih proaktif dalam menangani peningkatan kadar indeks jenayah ini melalui perancangan operasi yang berkesan dan berterusan.

“Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Sabah juga perlu memainkan peranan membantu daerah berkenaan menyusun atur strategi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini semalam.

Sementara itu, Omar memaklumkan statistik jenayah indeks di Sabah bagi tempoh Januari hingga kelmarin mencatatkan 4,432 kes berbanding 4,622 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Ia menunjukkan penurunan 190 kes dan sedikit lagi mahu mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu sebanyak lima peratus penurunan jenayah indeks di Sabah bagi tahun ini.

“Bagi jenayah kekerasan, 486 kes dilaporkan tahun ini dan 444 kes tahun lalu. Ini menunjukkan peningkatan 42 kes. Bagi jenayah harta benda, 3,946 kes dilaporkan tahun ini berbanding 4,178 kes tahun lalu,” katanya.

Berita Harian X