Rabu, 9 Oktober 2019 | 3:35pm

Pelantikan Pengarah JANS tidak ikut undang-undang

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengisytiharkan pelantikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Datuk Amarjit Singh sebagai tidak sah.

Penghakiman itu dibuat Hakim Ravinthiran R Paramaguru, berkaitan kes difailkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee pada 19 Mac lalu bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Amarjit pada Ogos tahun lalu tidak mengikut undang-undang.

Teck Lee dan seorang ahli perniagaan dari Tawau, Pang Thou Chung ketika memfailkan kes itu menyatakan bahawa pelantikan berkenaan bertentangan dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Ia berikutan Seksyen 3 dalam enakmen itu yang menyatakan bahawa pelantikan jawatan kanan mestilah dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Sebelum dilantik sebagai Pengarah JANS, Amarjit bukan seorang anggota perkhidmatan awam.

Kes berkenaan difailkan menerusi Yong dan Punai Chambers.

Berita Harian X