Selasa, 8 Oktober 2019 | 3:18pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (kanan) Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kiri) pada bual bicara, majlis perasmian 'Simposium Health Promotion In Learning Institutions' (HePiLi) Peringkat Kebangsaan 2019 di Eastin Hotel. - Foto Mahzir Mat Isa

Klinik desa tak akan ditutup

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan tidak bercadang menghentikan operasi klinik desa walaupun jumlah pesakit mendapatkan rawatan di situ berkurangan.

Timbalan Menteri, Dr Lee Boon Chye, berkata kementerian juga merancang menambah jumlah hospital dan pusat rawatan di kawasan luar bandar.

"Jika pesakit tidak ramai, kita kaji semula supaya pesakit boleh mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan tetapi saya ingin maklumkan bahawa klinik desa tidak akan ditutup.

"Kementerian sendiri merancang menambah jumlah hospital di luar bandar seperti hospital di Petra Jaya, Sri Aman dan Lawas di Sarawak," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-PBB Sibuti) berhubung dakwaan Kementerian Kesihatan akan menutup klinik desa kerana kadar lawatan pesakit yang kurang.

Dr Lee berkata, kementerian juga sedang menambah baik kemudahan perubatan di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah melalui klinik bergerak, bot, kenderaan pacuan empat roda dan helikopter.

Menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-BERSATU Tanah Merah) berhubung usaha kerajaan mengatasi masalah kesesakan di wad hospital kerajaan, Dr Lee berkata, pelbagai usaha sedang dilaksanakan,

Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah memperluaskan perkhidmatan rawatan harian (PRH) iaitu perkhidmatan klinikal disempurnakan dalam hari yang sama.

"Kementerian turut melaksanakan inisiatif Hospital Kluster yang menjadi kerjasama antara hospital pakar dengan hospital tanpa pakar bagi membolehkan pesakit luar bandar menerima rawatan pakar tanpa perlu dirujuk ke hospital pakar.

"Selain itu, kita mewujudkan unit pengurusan katil (BMU) dengan merancang kemasukan pesakit elektif serta memastikan pesakit yang memerlukan katil dapat diutamakan dengan segera," katanya

Dr Lee berkata, kementerian juga mengamalkan konsep 'ward-levelling' bagi memastikan wad yang mempunyai kada penggunaan katil yang rendah dapat dioptimumkan.

"Pembangunan hospital baru dan hospital gantian antara langkah yang diambil bagi mengatasi masalah kesesakan di wad hospital kerajaan," katanya.

Ends

Berita Harian X