X
Isnin, 7 Oktober 2019 | 7:13pm
Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).
Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

SAINS potong bekalan air akaun tertunggak mulai 1 November

SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) akan membuat pemotongan bekalan air terhadap akaun tertunggak, secara besar-besaran mulai 1 November depan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail, berkata tindakan itu perlu dilakukan berikutan jumlah tunggakan sudah mencecah RM9.5 juta, setakat ini.

Beliau berkata, hingga September lalu, sebanyak 432,325 akaun aktif direkodkan SAINS membabitkan 368,920 akaun domestik dan 63,405 akaun industri.

“Nilai ini terlalu besar dan boleh mengekang urusan penambahbaikan SAINS secara berterusan dalam perkhidmatan bekalan air di Negeri Sembilan.

“Oleh itu, pengguna disaran menyegerakan pembayaran bil air tertunggak dan semasa bagi mengelakkan berlaku pemotongan bekalan air.

“Pembayaran boleh dibuat melalui kaedah yang lebih memudahkan pengguna seperti aplikasi dalam talian, perbankan Internet atau datang terus ke kaunter SAINS sebelum pemotongan dilaksanakan di semua daerah, November ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norzita berkata, SAINS akan memasang kain rentang di setiap daerah sebagai pemberitahuan kepada pengguna, mulai hari ini.

Beliau berkata, selaras langkah pemotongan bekalan air pada bulan depan itu, SAINS juga akan membuat pembanterasan secara besar-besaran terhadap sambungan haram atau curi air di setiap daerah.

“Isu sambungan haram turut menjadi fokus utama dan usaha berterusan SAINS bagi memastikan pengeluaran air tidak berhasil (NRW) dapat dibendung daripada terus meningkat serta merugikan SAINS.

“Kadar purata NRW hingga Ogos lalu, menurun kepada 31.2 peratus berbanding 31.9 peratus setakat akhir 2018, dengan anggaran kerugian sebanyak RM39 juta dari Januari hingga Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata, penyambungan haram itu bukan saja dilakukan pengguna domestik tetapi juga pengguna industri dan komersial tidak bertanggungjawab yang menggunakan bekalan air untuk urusan harian serta keperluan operasi.

“Setakat September lalu, 376 kes direkodkan SAINS dan diambil tindakan undang-undang dengan sebanyak RM1.1 juta kerugian dicatat hingga kini,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pengguna dinasihat tidak melakukan penyambungan haram atau curi air kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan jenayah mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda sebanyak RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, orang ramai yang ada masalah berkaitan bil air, ingin melaporkan kes paip pecah, curi air atau sebarang perkara berkaitan perkhidmatan bekalan air, boleh menghubungi SAINS melalui talian 1-800-88-6982 atau e-mel: aduan@sainswater.com atau SMS ke talian 06-6033500.

Berita Harian X