Isnin, 7 Oktober 2019 | 3:12pm
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (dua dari kiri) meninjau gerai usahawan Sarawak yang menyertai ANUGA 2019 di Cologne, Jerman. - NSTP/Melvin Joni
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (dua dari kiri) meninjau gerai usahawan Sarawak yang menyertai ANUGA 2019 di Cologne, Jerman. - NSTP/Melvin Joni

Produk Sarawak tarik tumpuan di ANUGA2019

KUCHING: Pes Laksa Sarawak bersama kopi propolis, madu kelulut dan sos lada hitam antara produk yang mencuri perhatian dalam Pameran Makanan dan Minuman Antarabangsa 2019 (ANUGA2019) di Cologne, Jerman bermula kelmarin.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata perkembangan itu jelas memperlihatkan potensi besar produk makanan dan minuman keluaran negeri ini untuk menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di Eropah.

“Sarawak memiliki kepelbagaian sumber bahan mentah bagi pengeluaran produk makanan dan minuman yang bukan saja berkualiti, bahkan unik serta mampu memenuhi citarasa antarabangsa. Ini satu peluang yang boleh diteroka oleh usahawan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak.

“Bagi kerajaan negeri sendiri, pengeluaran produk makanan dan minuman antara sektor berpotensi dibangunkan, termasuk bagi menampung pasaran eksport, sekali gus menyumbang kepada usaha pengukuhan ekonomi Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Sarawak sedang mengetuai Misi Perdagangan dan Pelaburan Sarawak ke Eropah, termasuk menghadiri ANUGA2019 yang dijadualkan berlangsung sehingga 9 Oktober ini.

Turut serta Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Naroden Majais; Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia Ke Jerman, Badrul Hisham Hilal dan Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Sarawak, Leany Mokhtar.

Sementara itu, Awang Tengah menggesa usahawan Sarawak agar lebih berani meneroka pasaran luar bagi setiap produk makanan dan minuman mereka, termasuk memanfaatkan kelebihan saiz pasaran halal yang cukup luas di peringkat global.

"ANUGA2019 misalannya... ia antara acara terbesar seumpamanya di dunia, selain Gulf Food 2019 yang boleh menjadi platform usahawan kita merintis peluang pasaran luar. Di peringkat kerajaan negeri dan Pusat, bantuan bantuan dan kemudahan disediakan bagi membantu usahawan kita meneroka pasaran dunia,” katanya.

Keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan pencapaian syarikat Sarawak dalam ANUGA2019, malah mahu melihat jumlah penyertaan itu sentiasa dipertingkatkan.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) mahu memberi tumpuan kepada promosi perdagangan di luar negara bagi meningkatkan prestasi eksport dan pelaburan negeri.

Katanya, antara segmen yang berpotensi menarik pelaburan ke Sarawak ialah industri petrokimia, semikonduktor, bioteknologi, automobil dan kejuruteraan, pembuatan perabot dan pangkalan data.

“Jerman sangat dikenali sebagai sebuah negara maju dalam pelbagai sektor teknologi, selain pendidikan tinggi yang pasti dapat membantu kita dalam pembangunan modal insan, seterusnya mendokong Dasar Ekonomi Digital," katanya.

Berita Harian X