Rabu, 2 Oktober 2019 | 9:56am
Seekor ular sawa yang membaham dua ekor ayam penduduk di Kampung Parit Mat Ali, Kuala Kurau berjaya ditangkap penduduk kampung. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

'Ayam riuh ular bertandang'

PARIT BUNTAR: Bunyi bising dari reban ayam membawa kepada penemuan seekor ular sawa yang membaham dua ayam penduduk di Kampung Parit Mat Ali, Kuala Kurau di sini, malam tadi.

Mohd Faisal Ibrahim, 46, berkata ahli keluarganya memeriksa bunyi bising dari reban ayam kira-kira jam 8.30 malam sebelum menemui seekor ular sawa sepanjang lebih lima meter dalam kurungan berkenaan.

Beliau segera memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakan dan memintanya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau.

“Bagaimanapun, sebelum pasukan bomba tiba, ular itu sempat meloloskan diri melalui pagar dawai yang berlubang.

“Puas kami mencari ular itu di sekitar reban untuk ditangkap tetapi tidak ditemui.

“Reban ayam sekali lagi riuh kira-kira jam 10.20 malam dan sebaik diperiksa, ular sawa yang lolos sebelum itu dikesan berada dalam reban berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Faisal bersama ahli keluarga memegang ekor dan kepala ular sawa itu sebelum BBP Kuala Kurau bagi membantu menangkapnya.

Beliau dan beberapa ahli keluarga memegang ular sawa itu kira-kira lima minit bagi mengawalnya supaya tidak terlepas.

“Akhirnya kami dapat menyerahkan reptilia itu kepada BBP Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jurucakap BBP Kuala Kurau berkata, ular yang ditangkap itu akan dilepaskan ke habitat asal.

Berita Harian X