Isnin, 30 September 2019 | 12:58pm
Penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh membersihkan kawasan tanaman terung yang dibekalkan JAKOA. - NSTP/Ramli Ibrahim

Orang Asli perlu air bersih dan elektrik

GUA MUSANG: “Kami perlu bekalan air bersih dan elektrik. Hidup kami masih terpinggir,” begitulah luahan penduduk Orang Asli suku Batek, Kampung Kuala Koh, di sini, hari ini.

Penduduk Orang Asli, Mohd Alang Ahmad, 22, berkata masalah bekalan air bersih sudah lama dihadapi kaum berkenaan.

Katanya, sebelum ini kerajaan menjanjikan untuk menyelesaikan masalah itu selepas tragedi 15 kematian Orang Asli kerana akibat demam campak sejak awal Mei lalu.

“Kami tuntut janji itu dan kerana masih bimbang menggunakan sungai dan tadahan air bukit yang kotor.

“Sampai bila patut kami tunggu kemudahan air telaga tiub yang sudah siap dibina tetapi belum berfungsi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Ayus Hamdan, 24, berharap pihak berkaitan dapat menyediakan kemudahan itu secepat mungkin.

“Langkah itu dapat mengurangkan jumlah penduduk berpindah ke kawasan hutan. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ada menyediakan kemudahan air tadahan bukit tetapi hanya untuk keperluan mandi dan membasuh pakaian saja,” katanya.

Berita Harian X