Rabu, 25 September 2019 | 4:15pm
PENGARAH Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Amarjit Singh menunjukkan emel berbentuk ancaman yang diterima JANS pada sidang media di pejabat JANS, Kota Kinabalu. NSTP/Ryan Stanley.
PENGARAH Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Amarjit Singh menunjukkan emel berbentuk ancaman yang diterima JANS pada sidang media di pejabat JANS, Kota Kinabalu. NSTP/Ryan Stanley.

JANS lapor polis selepas terima ancaman melalui emel

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hari ini membuat laporan polis selepas menerima satu emel berbentuk ancaman oleh pengirim tidak dikenali, Sabtu lalu.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Karamunsing pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi oleh pegawai khidmat pelanggan jabatan berkenaan.

Pengarah JANS, Amarjit Singh, berkata emel terbabit diterima daripada penghantar yang menggunakan nama ‘Jabatan Air Mani’ dan menggelarkan diri sebagai ‘Silence Hacker Group’.

“Selain menggunakan perkataan kesat, mereka melalui emel berkenaan turut mengugut mahu menghancurkan laman web JANS dan memadamkan semua data jabatan di bahagian Kota Kinabalu, Sandakan serta Tawau

sekiranya gangguan air masih berterusan.

“Semua bahagian yang disebut itu juga menerima emel sama pada hari yang sama dan ia berkemungkinan mempunyai kaitan dengan emel yang kami terima,” katanya pada sidang media di pejabat JANS, di sini hari ini.

Armajit berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan kredibiliti JANS dan kakitangan jabatan itu.

“Jika mahu meluahkan kemarahan atau rasa tidak puas hati, ikutlah saluran yang betul. Semua aduan yang kami terima akan diambil perhatian, seterusnya tindakan akan diambil.

“Kami sentiasa melakukan yang terbaik untuk mengatasi masalah bekalan air di Sabah, malah saya sendiri sentiasa turun padang untuk memantau sekiranya ada masalah. Namun, tidak dinafikan ada beberapa kes yang sedikit sukar untuk ditangani atas beberapa faktor,” katanya.

Beliau berkata, selain menerima emel terbabit, pihaknya turut mengesan satu akaun Facebook yang menggunakan nama Ahmad Tar yang sering menghantar komen kesat di setiap notis gangguan bekalan air di Facebook Jabatan Air Negeri Sabah.

“Jika kita lihat akaun itu (Ahmad Tar), dia juga menggunakan gambar lukisan lucah serta perkataan Jabatan Air Mani dan pihak kami syak pemilik akaun ini ada kaitan dengan hantaran emel baru-baru ini.

“Bagaimanapun, JANS menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis dan kami juga sudah membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Berita Harian X