Rabu, 25 September 2019 | 2:06pm
Wakil Guiness World Record, Pete Fairbairin (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema Escape, Sim Choo Kheng mencuba gelongsor air terpanjang di dunia selepas majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Guiness World Record (GWR) Gelongsor Air Sepanjang 1,111 meter Terpanjang Di Dunia di Taman Tema Escape, Teluk Bahang, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Gelongsor air terpanjang di dunia di Pulau Pinang bakal jadi tarikan

BALIK PULAU: Gelongsor air terpanjang di dunia di Taman Tema Escape Pulau Pinang di Teluk Bahang di sini, dijangka menjadi tarikan pelancongan baharu ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Gelongsor air sepanjang 1.140 kilometer (km) itu mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada Guinness World Record (GWR) dalam satu majlis yang diadakan di taman teman air itu, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema Escape Pulau Pinang, Sim Choo Kheng, berkata pihaknya berbesar hati apabila menerima pengiktirafan daripada GWR, sekali gus memecahkan rekod dunia oleh sebuah gelongsor air sepanjang 356 meter yang terletak di Jerman.

“Sebenarnya, pembinaan gelongsor air terpanjang dunia ini adalah idea yang tidak sengaja.


Tetamu khas mencuba gelongsor air terpanjang di dunia selepas majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Guiness World Record (GWR) Gelongsor Air Sepanjang 1,111 meter Terpanjang Di Dunia di Taman Tema Escape, Teluk Bahang, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

“Ketika pembinaan taman tema air ini, saya terpandang sebuah bukit dan terus berkata untuk membina gelongsor dari atas bukit itu.

“Apabila ia direka, baru saya menyedari ianya adalah amat panjang!,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Choo Keng menerima sijil pengiktirafan GWR daripada wakilnya, Pete Fairbairn.

Choo Keng berkata, gelongsor air yang dibina dengan kos RM5 juta itu akan mula dibuka kepada orang awam bermula pertengahan Oktober ini.

Katanya, pihaknya juga menjangkakan gelongsor air terpanjang di dunia itu akan menjadi tarikan utama pelancong ke taman tema yang mula beroperasi sejak 2012 itu.

“Tahun lalu sahaja kita merekodkan kehadiran pelancong seramai 185,000 orang, dengan pembinaan gelongsor air ini kita jangka peningkatan sehingga 15 peratus kedatangan pengunjung,” katanya.

Gelongsor air terpanjang di dunia itu dibina hanya menggunakan peralatan asas tanpa penggunaan sebarang mesin canggih bagi memastikan keselamatan setiap pengunjung terjamin.

Pengunjung juga akan menikmati pemandangan indah yang melalui puncak bukit, menggelongsor ke bawah menyeberangi Jalan Teluk Bahang di sebelah jambatan gantung, dan berakhir di kolam renang taman tema air.

Berita Harian X