X
Isnin, 23 September 2019 | 1:08pm
SEBAHAGIAN 5,000 pelajar di lima sekolah sekitar bandar Gua Musang diberi topeng penutup hidung percuma oleh Kelab Lion Gua Musang sebagai tanggungjawab sosial bagi menjaga kesihatan di musim jerebu sekarang. - Foto Ramli Ibrahim
SEBAHAGIAN 5,000 pelajar di lima sekolah sekitar bandar Gua Musang diberi topeng penutup hidung percuma oleh Kelab Lion Gua Musang sebagai tanggungjawab sosial bagi menjaga kesihatan di musim jerebu sekarang. - Foto Ramli Ibrahim

Kelantan pula mula dilanda jerebu

KOTA BHARU: Dua lokasi di Kelantan iaitu Kota Bharu dan Tanah Merah mula dilanda jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat pagi ini.

Laman web Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan Tanah Merah merekod IPU 116, manakala Kota Bharu 115 setakat jam 12 tengah hari ini.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Hamzah Mohamed, berkata bacaan IPU itu dijangka menurun di negeri ini mulai esok berikutan perubahan cuaca.

Beliau berkata, berdasarkan portal APIMS, bacaan di Tanah Merah mula merekodkan tidak sihat pada jam 4 pagi, manakala Kota Bharu bermula pada jam 7 pagi tadi.

“Buat masa ini kita masih memantau bacaan IPU dan punca lain yang boleh menyumbang lagi jerebu, misalnya pelepasan asap industri serta pembakaran terbuka. Kita akan mengambil tindakan yang tegas seperti memberi kompaun kepada mereka yang bertanggungjawab.

“Selain itu, kita juga sedang memantau kawasan tanah gambut terutama di Bachok supaya tiada pembakaran. Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga dinasihatkan memantau kawasan pengumpulan sampah supaya tiada pembakaran dilakukan.

“Jika bacaan terus meningkat, kita akan melakukan tindakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, beliau nasihatkan kepada orang ramai supaya kurangkan aktiviti luar, terutama pihak sekolah selain tidak melakukan pembakaran terbuka.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X