Khamis, 19 September 2019 | 6:31pm
Datuk Shamrat Sen Gupta (dua dari kiri) dan Dr Mohamed Rafick Khan menyampaikan sumbangan kepada murid buta dengan disaksikan ibu bapa murid dan guru di satu majlis ringkas di SK Pendidikan Khas Jalan Batu, di Kuala Lumpur.
Datuk Shamrat Sen Gupta (dua dari kiri) dan Dr Mohamed Rafick Khan menyampaikan sumbangan kepada murid buta dengan disaksikan ibu bapa murid dan guru di satu majlis ringkas di SK Pendidikan Khas Jalan Batu, di Kuala Lumpur.

Mesin braille bantu murid buta buat kerja rumah

KUALA LUMPUR: Yayasan MRCB menyumbang mesin Braille kepada murid buta dan membaik pulih prasarana Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Jalan Batu, di sini, membabitkan kos RM40,000.

Pemegang Amanah yayasan, Datuk Shamrat Sen Gupta dan Dr Mohamed Rafick Khan menyampaikan sumbangan itu kepada murid buta dengan disaksikan ibu bapa murid dan guru di satu majlis ringkas di sekolah itu, semalam.

Shamrat berharap dengan sumbangan mesin Braille itu, murid buta bukan sahaja dapat mengulang kaji mata pelajaran di sekolah tetapi dapat membawa pulang kerja sekolah ke rumah.

Katanya, sebelum ini, pelajar perlu berkongsi mesin Braille di sekolah sahaja.

“Sumbangan ini akan membantu pelajar meningkatkan pembelajaran mereka dalam jangka panjang.

“Kami juga membantu membaik pulih prasarana di bangunan lama sekolah ini untuk memastikan murid buta dapat menggunakan kemudahan bilik darjah dan koridor dengan lebih selamat,” katanya.

Murid buta menggunakan mesin braille.
Murid buta menggunakan mesin braille.

Shamrat berkata, pihak yayasan sentiasa mengenal pasti program berimpak tinggi untuk membantu pelajar yang memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka menjalani kualiti kehidupan yang lebih baik, pada masa depan.

Katanya, Yayasan MRCB akan mengadakan kutipan amal untuk tahun ini menerusi Konsert Amal bertemakan `Yannick Bovy celebrates 100 Years of Nat King Cole’.

“Konsert amal ini akan diadakan di Istana Budaya, pada 5 Oktober ini. Kami mengajak orang ramai menyumbang untuk kutipan amal ini,” katanya.

Setakat ini, Yayasan MRCB menyumbang lebih RM1 juta untuk membantu pelajar sasaran dan komuniti kurang berkemampuan di seluruh negara.

Berita Harian X