Khamis, 19 September 2019 | 5:59pm
Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri (empat dari kiri) diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof (lima dari kiri) beramah mesra bersama pelajar pada Majlis Pendaftaran Kemasukan 30 Pelajar YDSM Peringkat Ijazah Sarjana Muda ke UniSZA di Kuala Nerus, hari ini. - NSTP/Ghazali Kori

Berjaya ke UniSZA selepas tiga kali memohon, buat rayuan

KUALA NERUS: “Alhamdulillah, selepas tiga kali memohon dan membuat rayuan, akhirnya ada rezeki untuk saya melanjutkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” kata Muhd Hadi Lukman Nodi, 20.

Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial itu antara 30 pelajar daripada keluarga berpendapatan B40 yang terpilih menerusi Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) untuk melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda di UniSZA.

Muhd Hadi berkata, dia tidak berputus asa selepas permohonannya melanjutkan pengajian tidak berjaya, sebaliknya konsisten melakukan solat hajat, selain bersedekah dan tidak putus berdoa serta membuat rayuan semoga permohonannya diluluskan.

“Selepas pelbagai usaha dilakukan, saya bersyukur hasrat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas tamat Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia (STPM) diterima menerusi YDSM.

“Menerusi YDSM saya berjaya menjadi mahasiswa di UniSZA dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk membanggakan kedua ibu bapa yang sudah banyak berkorban sebelum ini,” katanya selepas Majlis Pendaftaran Kemasukan 30 Pelajar YDSM Peringkat Ijazah Sarjana Muda ke UniSZA di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof.

Muhd Hadi yang juga anak bongsu daripada enam beradik berkata, beliau juga bersyukur menerima bantuan keseluruhan RM2,450 daripada YDSM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu serta Yayasan Terengganu, sekali gus dapat meringankan bebanan bapa, Nodin A Aziz, 63, yang juga pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Muhd Hadi Lukman Nodi (kiri) dan Nik Nurin Syahirah Salleh. - NSTP/Ghazali Kori

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian, Nik Nurin Syahirah Salleh, 20, pula berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan permohonan rayuannya menyambung pelajaran di UniSZA berjaya.

“Saya terkejut dan bersyukur dengan peluang ini dan berjanji memanfaatkan sebaiknya untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup.

“Walaupun kurang cemerlang di peringkat STPM, saya akan buktikan mampu cemerlang di universiti. Saya mahu membalas jasa kedua ibu bapa,” kata anak juruelektrik itu yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, di sini.

Sementara itu, YDSM dalam kenyatannya berkata, menerusi projek perintis selepas YDSM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UniSZA April lalu, seramai 72 pelajar anak Terengganu daripada keluarga B40 terpilih melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda di universiti itu.

“Pelajar ini masuk ke UniSZA menerusi kuota YDSM selepas kita mengenal pasti pelajar yang menepati syarat, tetapi gagal dalam permohonan melanjutkan pengajian.

“YDSM akan memantau mereka dan jika memerlukan bantuan terutama kewangan sepanjang pengajian, kita bersedia membantu. Pada peringkat awal ini, kita memberi sumbangan ‘one-off’ RM300, selain barangan keperluan bernilai RM150,” katanya.

Berita Harian X