Isnin, 16 September 2019 | 3:57pm
SESI persekolahan bagi kira-kira 3000 sekolah di Muar, Tangkak dan Pontian diarahkan ditutup pada Ahad lalu berikutan IPU di kawasan berkenaan mencecah bacaan melebihi 208 iaitu sangat tidak sihat. - Foto Togi Marzuki
SESI persekolahan bagi kira-kira 3000 sekolah di Muar, Tangkak dan Pontian diarahkan ditutup pada Ahad lalu berikutan IPU di kawasan berkenaan mencecah bacaan melebihi 208 iaitu sangat tidak sihat. - Foto Togi Marzuki

Jerebu: Sekolah di Muar, Tangkak dan Pontian dibuka semula esok

JOHOR BAHRU: Kira-kira 300 sekolah dan tadika yang ditutup akibat jerebu di Muar, Tangkak dan Pontian semalam akan dibuka semula esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin pulih di kawasan berkenaan.

Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan, berkata langkah pembukaan semula kesemua sekolah yang menjejaskan hampir 90,000 pelajar dan murid itu dibuat berikutan bacaan IPU di lapan stesen di negeri ini menunjukkan penurunan konsisten berbanding Sabtu lalu.

“Berdasarkan status bacaan terkini IPU di lapan stesen di Johor menunjukkan bacaan menurun yang kesemuanya merekodkan bacaan IPU di bawah 200.

“Hanya Tangkak merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 118 jam 2 petang tadi dan menurun kepada 116 jam 3 petang tadi.

“Sehubungan itu semua sekolah di daerah Muar, Tangkak dan Pontian yang ditutup Ahad lalu disebabkan status udara yang Sangat Tidak Sihat akan dibuka semula seperti biasa esok.

“Bagi daerah yang status IPU masih pada paras lebih 100, semua aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sabtu lalu, sesi persekolahan bagi kira-kira 3000 sekolah di Muar, Tangkak dan Pontian diarahkan ditutup pada Ahad lalu berikutan IPU di kawasan berkenaan mencecah bacaan melebihi 208 iaitu sangat tidak sihat.

Azman dipetik sebagai berkata, arahan penutupan sesi persekolahan itu adalah berdasarkan pekeliling Kementerian Pendidikan dan garis panduan menangani jerebu kebangsaan serta atas nasihat dan perbincangan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor serta Pejabat Daerah Muar, Tangkak dan Pontian.

Katanya, Surat Siaran Kementerian Pendidikan juga sudah menyatakan jika bacaan IPU melebihi 200, maka semua sekolah di kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta merta.

Sementara itu, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 3 petang tadi, bacaan IPU di Johor semakin menurun iaitu Tangkak (116), Segamat (102), Batu Pahat (95), Kluang (87), Larkin (88), Pasir Gudang (75), Pengerang (64) dan Kota Tinggi (73).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Berita Harian X