Khamis, 12 September 2019 | 9:50pm
PENGERUSI Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng bersama dua pemegang amanah yayasan, Datuk Shamrat Sen Gupta (kanan) dan Jamaludin Zakaria (dua dari kanan) menerima cek kutipan amal daripada Ketua Pegawai Eksekutif MRCB Land, Raymond Cheah (tiga dari kiri). - Foto ihsan MRCB
PENGERUSI Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng bersama dua pemegang amanah yayasan, Datuk Shamrat Sen Gupta (kanan) dan Jamaludin Zakaria (dua dari kanan) menerima cek kutipan amal daripada Ketua Pegawai Eksekutif MRCB Land, Raymond Cheah (tiga dari kiri). - Foto ihsan MRCB

Yayasan MRCB bantu 10 belia kurang upaya

SUNGAI BULOH: Dana RM50,000 yang berjaya dikumpulkan melalui program amal anjuran MRCB Land sempena Karnival Pemilikan Rumah 2019, 6 September lalu bakal dimanfaatkan bagi membiayai latihan vokasional 10 belia kurang upaya.

Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng, berkata kutipan itu diperoleh dari tabung gajah gergasi setinggi 3.65 meter yang berjaya mengumpulkan RM25,000 disumbangkan orang ramai sepanjang berlangsungnya Kempen Pemilikan Rumah Alstonia Hilltop Homes.

Katanya, hasil kutipan dari tabung itu yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai tabung berbentuk binatang terbesar di negara ini, kemudian digandakan kepada RM50,000 oleh Yayasan MRCB.

“Yayasan MRCB menggandakan RM1 bagi setiap RM1 sumbangan yang diterima melalui kutipan amal tabung berkenaan. Kita berhasrat memanfaatkan hasil kutipan amal itu untuk program meningkatkan kemahiran 10 belia kurang upaya, termasuk bagi mengikuti latihan vokasional selama enam bulan.

“Ini tentunya dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang setimpal kemahiran dimiliki, seterusnya mampu hidup berdikari,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Sumbangan itu diterima oleh Jasmine bersama dua Ahli Pemegang Amanah Yayasan MRCB, Datuk Shamrat Sen Gupta dan Jamaludin Zakaria daripada Ketua Pegawai Eksekutif MRCB Land, Raymond Cheah.

Jasmine berkata, program latihan berkenaan dijadualkan bermula pada November ini selepas proses pemilihan selesai bagi memastikan belia yang dipilih terdiri daripada kumpulan B40.

Katanya, beliau bersama Ahli Pemegang Amanah Yayasan MRCB sentiasa berusaha mengenal pasti golongan memerlukan, selain memahami keperluan mereka.

Ini termasuk menganjurkan pelbagai aktiviti yang boleh membantu pelajar kurang berkemampuan menikmati kualiti kehidupan lebih baik dan dapat hidup berdikari pada di masa depan.

Pada masa yang sama, Jasmine berkata, yayasan itu akan menjalankan program jangka masa panjang dalam usaha meneruskan pelbagai aktiviti amal antaranya penganjuran kutipan amal melalui Konsert Amal Yannick Bovy celebrates 100 Years of Nat King Cole.

“Ini akan diadakan pada 5 Oktober ini di Istana Budaya Kuala Lumpur. Yayasan MRCB berharap orang ramai boleh menyumbang kepada kutipan amal itu. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.yayasanmrcb.org.

”Selain program itu, pada Ogos lalu, Yayasan MRCB mengadakan klinik UPSR untuk lebih 600 orang pelajar kurang berkemampuan membabitkan tujuh buah sekolah angkat Yayasan MRCB di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

“Yayasan juga melancarkan program makanan selama setahun untuk 384 orang pelajar daripada kumpulan B40 membabitkan dana sejumlah RM231,000.00, di 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Johor pada Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata, Yayasan MRCB sehingga kini sudah menyumbangkan lebih RM1 juta untuk membantu pelajar sasaran dan komuniti kurang berkemampuan di seluruh negara.

Berita Harian X