Rabu, 11 September 2019 | 5:58pm
Wanita yang ditahan polis selepas diberkas pengawal keselamatan sebuah pasar raya kerana mencuri pelbagai barangan termasuk ayam dan daging di Seri Iskandar. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Curi ayam untuk anak

SERI ISKANDAR: “Saya mohon maaf atas apa yang sudah berlaku. Saya akui perbuatan ini salah. Saya terpaksa buat begini kerana kasihan dengan anak sulung yang teringin sangat nak makan daging masak merah,” kata wanita yang ditahan polis selepas mencuri beberapa barang, termasuk ayam di sebuah pasar raya di sini.

Wanita berusia 31 tahun dan dalam proses perceraian itu, mencuri sebungkus pek isian semula krim mandian, satu bekas serbuk lada hitam, krim malam, dua bungkusan daging diperap dan satu peket kiub tulang ayam yang dimasukkan dalam beg, sebelum ditahan pengawal keselamatan ketika mahu melepasi kaunter pembayaran premis berkenaan.

Katanya, malam sebelum kejadian anak sulungnya memberitahu teringin menikmati daging masak merah dan permintaan itu sebenarnya sudah disampaikan sejak beberapa hari lalu.

“Nak beli di kedai wang tak cukup dan saya fikir bila dapat upah mengasuh nanti saya akan beli barang memasak, tetapi malam kelmarin anak minta lagi yang membuat saya tak sampai hati,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, sebagai ibu dia tidak sanggup melihat keinginan anaknya tidak tertunai dan tanpa berfikir panjang dia nekad melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang itu.

“Saya ditahan pengawal keselamatan dan cuba merayu untuk dilepaskan, namun tidak diendahkan kerana mereka perlu mematuhi prosedur dan saya terus menghubungi Kak Ida (aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh) untuk meminta bantuan,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, pengalaman tidur di lokap sangat menginsafkan dan dia mengakui hatinya tidak tenang sehingga tidak lalu makan dan tidurnya juga tidak lena memikirkan anak.

Katanya, dia kini dalam proses perceraian selepas digantung tak bertali oleh suaminya sejak hampir setahun lalu dan sejak itu, dia menguruskan ketiga-tiga anaknya bersendirian dengan pendapatan RM600 sebulan sebagai pengasuh.

“Dengan wang itu saya tanggung semuanya dan kadang-kadang tak cukup. Yuran tadika anak juga selalu tertangguh dan bayaran kelas mengaji anak juga sudah sembilan bulan tak berbayar. Nasib baik ustaz memahami.

“Sebelum ini saya meminta bantuan Kak Ida atau adik jika tak cukup wang. Cuma kali ini, saya tak fikir panjang dan sudah tebal muka mahu meminjam lagi,” katanya yang duduk di rumah sewa yang dibayar adik lelakinya di sini.


Barangan yang dicuri oleh wanita dipercayai asnaf di sebuah pasar raya di Seri Iskandar. - Foto ihsan Pembaca

Sementara itu, Rohaidatul Asma berkata, beliau dihubungi wanita terbabit pada jam 1.05 tengah hari semalam memaklumkan kejadian itu untuk meminta bantuan.

“Saya cuba merayu kepada pihak pengurusan pasar raya itu tetapi ditolak dan memahami situasi itu kerana apa yang berlaku sememangnya salah tetapi saya terkilan, tiada tolak ansur daripada mereka lebih-lebih lagi wanita itu bukan orang senang.

“Malah, saya dengan bantuan Amal Team juga bersedia mahu membayar harga barang dicurinya itu, biarpun jumlahnya digandakan,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun dia lega apabila urusan berkenaan sudah selesai dan dengan sumbangan orang ramai, beliau akan membantu membeli barangan keperluan untuk keluarga wanita itu.

BH hari ini melaporkan wanita yang mempunyai tiga anak kecil itu diberkas pengawal keselamatan pasar raya terbabit, bersama barangan yang dicuri dianggarkan bernilai RM80.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso dilaporkan berkata, polis sudah menghantar kertas siasatan lengkap kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang kemudian memutuskan tiada pendakwaan dilakukan terhadap wanita berkenaan dan dia dibebaskan, hari ini.

900 dibaca
Berita Harian X