Ahad, 8 September 2019 | 4:18pm
Peniaga membuat bantahan terhadap Majlis Perbandaran Selayang di Pasar Selayang Baru. - NSTP/Aswadi Alias
Peniaga membuat bantahan terhadap Majlis Perbandaran Selayang di Pasar Selayang Baru. - NSTP/Aswadi Alias

Peniaga Pasar Selayang Baru tak puas hati

GOMBAK: Lebih 400 peniaga di Pasar Selayang Baru menggesa Menteri Besar Selangor campur tangan isu pemindahan tapak perniagaan mereka ke lokasi baharu yang didakwa tidak strategik dan bakal mengundang pelbagai masalah lain.

Justeru, empat persatuan mewakili peniaga berkenaan, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Selayang (PPPKM); Persatuan Peniaga Bumiputera Selayang; Persatuan Usahawan Ukhuwah Selangor dan Persatuan Penjaja Pasar Selayang Baru, menghantar memorandum kepada pejabat Menteri Besar Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) supaya mengkaji semula perpindahan ke tapak baharu yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat asal.

Wakil peniaga yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga Bumiputera Selayang, Jumari Talib, berkata mereka tidak menentang pembangunan projek komersial atau rancangan perpindahan peniaga ke lokasi baharu pada bulan depan namun MPS perlulah berlaku adil dan bertindak lebih telus.

Bagaimanapun, Jumari berkata rasa tidak puas hati peniaga dan penjaja berkenaan kerana ada ramai dalam kalangan mereka tidak mendapat lot perniagaan biarpun sudah berniaga di situ beberapa generasi sejak lebih 30 tahun lalu.

“Kami bukan mahu menentang kerajaan atau pembangunan semula tapak Pasar Selayang Baru tetapi MPS mestilah berlaku adil dan telus dengan menyenaraikan semua peniaga dan penjaja yang mendapat tapak kedai di bangunan baharu Pasar Selayang Baru.

“Tindakan ini perlu kerana difahamkan MPS bertindak secara tidak adil dengan menyewakan lot kedai sepatutnya disewakan pada kami (peniaga lama) kepada pihak luar termasuk peniaga asing yang menyewa tapak terbabit dari pihak lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan demonstrasi secara aman di perkarangan bangunan tapak baharu Pasar Selayang Baru di sini hari ini.

Berikutan itu Jumari berkata pihaknya berharap MPS akan memberikan keutamaan kepada peniaga yang sudah berpuluh tahun berniaga di situ untuk mendapat lot kedai di tapak baharu berkenaan.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana difahamkan hanya sebahagian daripada lebih 400 peniaga di tapak lama yang mendapat lot kedai di tempat baharu.

Difahamkan MPS sudah mengeluarkan notis mengarahkan semua peniaga dan penjaja Pasar Selayang Baru supaya berpindah ke tapak baharu akhir bulan ini.

Mengulas lanjut, Jumari berkata peniaga juga tidak berpuas hati dengan saiz lot kedai di tapak baharu Pasar Selayang Baru yang dikatakan sempit, kurang sesuai dan tidak dilengkapi dengan sistem perparitan dan pengudaraan yang sempurna.

Pengerusi PPPKM, Mustapa Sarip Khan pula bimbang mengenai isu keselamatan bangunan tapak baharu Pasar Selayang Baru kerana dikatakan tidak mempunyai tempat untuk peniaga menyimpan barang dan tidak dilengkapi dengan jeriji besi di bahagian bawah.

Mustapa berkata peniaga juga melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku pencemaran bau kerana lokasi rumah sampah pasar baharu berkenaan terletak tidak jauh dari kantin Sekolah Agama Nurul Iman dan Masjid Selayang baharu.

Sementara itu seorang peniaga, Leow Kian Too, 60-an, melahirkan rasa kecewa kerana tidak diberikan keutamaan untuk mendapat lot perniagaan di tempat baharu biarpun sudah lebih 30 tahun berniaga sayur di tapak lama Pasar Selayang Baru.

Bapa kepada tiga anak termasuk seorang berstatus orang kelainan upaya (OKU) itu berharap MPS akan mempertimbangkan permohonan rayuannya bagi mendapatkan lot kedai di tapak baharu Pasar Selayang Baru.

“Saya berharap MPS berlaku adil dan mengembalikan hak saya sebagai antara peniaga paling lama di sini, tambahan pula saya tidak pernah menutup gerai kecuali pada musim perayaan sahaja.

“Jika MPS tidak memberikan lot kedai saya tidak tahu macam mana untuk menyara keluarga kerana itu sahaja mata pekerjaan yang tahu buat selama ini,” katanya.

Berita Harian X