Selasa, 3 September 2019 | 12:44pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) menyampaikan cek kepada penerima pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Daerah Seberang Perai Utara di Dewan Millenium Kepala Batas. NSTP/Danial Saad
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) menyampaikan cek kepada penerima pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Daerah Seberang Perai Utara di Dewan Millenium Kepala Batas. NSTP/Danial Saad

Pulau Pinang luaskan bantuan daftar lanjut pelajaran

KEPALA BATAS: Kerajaan Pulau Pinang meluaskan bantuan pendaftaran pelajar ke institut pengajian tinggi (IPT) kepada mereka yang menyambung pelajaran di Politeknik dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terpilih dalam usaha membantu meringankan beban anak tempatan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pada peringkat awal inisiatif itu diperkenalkan, kerajaan negeri hanya memperuntukkan bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA).

Beliau berkata, berikutan maklum balas rakyat yang ada bergolok-gadai untuk membayar yuran ke politeknik dan IPTS mendorong kerajaan untuk membantu golongan itu juga.

“Kerajaan negeri setuju selain daripada UA, bantuan diperluaskan untuk pelajar yang menyambung pengajian di politeknik dan IPTS.

“Bagaimanapun, tidak semua bakal pelajar IPTS menerimanya dan tertakluk kepada senarai institusi yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT bagi daerah Seberang Perai Utara di Dewan Millenium, di sini, hari ini.

Sejumlah RM337,300 bantuan pendaftaran diperuntukkan bagi 443 pelajar di daerah ini.

Pelajar yang mengikuti pengajian di Semenanjung menerima RM1,000 seorang, manakala Sabah dan Sarawak menerima RM1,200.

Pelajar politeknik dan IPTS yang terpilih memperoleh bantuan pendaftaran sebanyak RM300.

Kon Yeow berkata, bantuan yang diberikan itu adalah galakan bagi meraikan kejayaan anak negeri ini yang mendapat keputusan cemerlang seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Meskipun bantuan ini mungkin kecil nilainya, kerajaan negeri berharap ia dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa dalam membiayai yuran pendaftaran.

“Kerajaan negeri juga berharap pelajar dapat memberi tumpuan terhadap pengajian mereka kerana transformasi alam pekerjaan baharu pada masa kini dan hadapan memaksa ilmu tambahan sebagai pakej penting dalam menakluki pasaran pekerjaan ketika gelombang Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Berita Harian X