Jumaat, 30 Ogos 2019 | 7:09pm
PRESIDEN YCM, Jamhariah Jaafar. - Foto Rosela Ismail

YCM minta kelulusan eksport terumbu karang

KUALA TERENGGANU: Yayasan Coral Malaysia (YCM) memohon kerajaan negeri menyegerakan kelulusan eksport terumbu karang, selepas badan bukan kerajaan itu sudah menghasilkan lebih 10,000 terumbu karang yang diternak.

Presiden YCM, Jamhariah Jaafar, berkata projek ternakan terumbu karang menerusi program Ladang Coral membabitkan nelayan tempatan itu mendapat permintaan tinggi daripada negara luar.

Beliau berkata, selepas eksport pertama ke United Kingdom (UK) April lalu, YCM terpaksa menghentikannya kerana Jabatan Perikanan yang menjadi pemantau utama menunggu kelulusan kerajaan negeri yang sedang mengkaji kadar levi.

“Sebelum ini projek diletakkan di bawah sumber ekonomi baharu kerajaan negeri, tetapi sehingga kini kerajaan negeri masih belum meluluskan prosedur eksport, sekali gus membantutkan usaha menjana ekonomi khususnya untuk nelayan tempatan yang menyertai program itu.

“Kita difahamkan antara isu yang sedang dibincangkan termasuk aspek pendapatan kepada kerajaan negeri. YCM sudah bertemu Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Nawawi yang memberi jaminan beliau akan bertemu kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ini.

“Beliau juga menyuarakan hasrat meletakkan projek ini di bawah program Revolusi Industri 4.0,” katanya di sini, hari ini.

Jamhariah berkata, disebabkan penternakan atau propagasi terumbu karang ini di bawah kendalian Jabatan Perikanan, YCM menyerahkan kepada pihak jabatan untuk berunding dengan kerajaan negeri berhubung isu kelulusan eksport.

“Kami berharap sebarang levi atau cukai yang hendak dikenakan perlu mempertimbangkan kedudukan YCM yang baru mengeksport selepas lebih empat tahun melakukan penyelidikan dalam bidang propagasi terumbu karang ini,” katanya.

Beliau berkata, YCM sudah melancarkan siri dua program ternakan terumbu karang, MyIncubator, selepas kejayaan siri pertama, membabitkan penyertaan dua nelayan dari Tok Jembal, Kuala Nerus dan ia mula mendatangkan hasil selepas eksport pertama ke UK.

“Tahun ini seramai tujuh lagi inkubator menyertai program Ladang Coral ini dan menerima tajaan daripada Telekom Malaysia daripada segi bantuan asas untuk memulakan penternakan.

“Dengan sembilan inkubator yang ada sekarang dan 115 meja penternakan, YCM sudah menternak hampir 10,000 terumbu karang spesies ‘acropora spp’.

“Justeru sudah tiba masanya ia dieksport ke luar negara kerana kita menerima banyak permintaan daripada seluruh dunia antaranya Britain, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Barat,” katanya.

Berita Harian X