Khamis, 29 Ogos 2019 | 8:24pm
PENGURUSAN Pasaraya Econsave Pasir Puteh diketuai Pengurusnya, Toh Sharin (tiga kiri) menghulurkan bantuan kepada anak penoreh getah, Muhammad Izzat Amran Ibrahim yang tinggal di Kampung Limau Kasturi untuk meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada bulan depan. - Foto Ramli Ibrahim
PENGURUSAN Pasaraya Econsave Pasir Puteh diketuai Pengurusnya, Toh Sharin (tiga kiri) menghulurkan bantuan kepada anak penoreh getah, Muhammad Izzat Amran Ibrahim yang tinggal di Kampung Limau Kasturi untuk meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada bulan depan. - Foto Ramli Ibrahim

Impian Izzat lanjut pengajian ke USM akhirnya tercapai

GUA MUSANG: “Syukur, sumbangan pelbagai pihak dan individu persendirian sudah cukup untuk membolehkan saya melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM),” kata Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Limau Kasturi, di sini hari ini.

Kisah Muhammad Izzat, anak ketiga daripada 12 beradik, yang kekurangan wang untuk mendaftar di USM, bulan depan, hingga terpaksa menjual petai bersama ibunya, Zubaidah Yusoff, 46, tular di laman sosial hingga mendapat perhatian ramai.

“Ramai datang ke rumah saya menghulurkan bantuan, malah tidak kurang juga yang memasukkan wang ke akaun bank. Bagi pihak keluarga saya, terima kasih di atas bantuan disalurkan,” katanya.

Muhammad Izzat yang akan menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan) berkata, dia menarik nafas lega apabila dapat mencapai impiannya demi membantu keluarga.

Katanya, dia sebelum ini menghantar surat penangguhan pengajian di USM, 27 Ogos lalu, sebelum menerima panggilan daripada pengurusan universiti untuk dia hadir mendaftar pada 2 September ini kerana pihak pengurusan universiti juga ingin membantunya.

“Saya amat terharu dengan perhatian diberikan pelbagai pihak mengenai kemiskinan yang saya hadapi sehingga terpaksa memohon penangguhan pendaftaran masuk USM.

“Sebenarnya, saya tidak mahu menyusahkan banyak pihak, termasuk keluarga untuk mencari wang bagi perbelanjaan saya sambung pelajaran,” katanya.

Sebelum itu, Muhammad Izzat bersama keluarganya menerima kunjungan pihak pengurusan Pasaraya Econsave Pasir Puteh diketuai Pengurusnya, Toh Sharin untuk menghulur sumbangan bagi perbelanjaan di USM.

Media hari ini melaporkan kesusahan Muhammad Izzat yang terpaksa memohon penangguhan pendaftaran ke USM kerana tidak mampu mengumpulkan wang sebanyak RM1,400 untuk pendaftaran.

Muhammad Izzat juga terpaksa membantu ibunya menjaja petai bagi mengumpul wang untuk tujuan berkenaan dan bapanya, Ibrahim Ismail, 56, bekerja penoreh getah tidak mampu menanggung perbelanjaan.

Menurut Muhammad Izzat, dia akan keluar rumah awal pagi Ahad ini untuk ke Pulau Pinang bagi pendaftaran ke USM dan akan membantu keluarga selepas berjaya kelak.

Sementara itu, Toh Sharin berkata, pihak pengurusan amat bersimpati dengan Muhammad Izzat yang berdepan dengan masalah kewangan bagi meneruskan pengajian.

Katanya, beliau terpanggil untuk menghulurkan bantuan supaya masa depan Muhammad Izzat tidak terjejas dan perbelanjaan bagi tujuan itu tidak terbantut.

“Memang kita rasa sedih melihat kehidupannya dan seperti orang lain juga kita bantu bagi meringankan beban perbelanjaan,” katanya.

Berita Harian X