Rabu, 28 Ogos 2019 | 6:41pm
Abang Johari melancarkan Hari Inovasi dan Integriti JTS 2019, di Kuching, hari ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Abang Johari melancarkan Hari Inovasi dan Integriti JTS 2019, di Kuching, hari ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Tambah kakitangan pertingkat keupayaan, operasi JTS

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan pengambilan pegawai dan kakitangan tambahan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bertujuan meningkatkan keupayaan agensi itu, terutama bagi penugasan pengukuran perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata langkah penambahan itu perlu dilakukan dengan mengambil kira aspek sensitif isu berkaitan NCR.

“NCR adalah isu sensitif. Apabila terdapat masalah, akan ada orang yang akan menyibuk dan mengambil peluang untuk mengganggu usaha kita.

“Oleh itu, JTS memaklumkan tenaga kerja tidak mencukupi untuk mengendalikan perkara seperti NCR. Jadi, kita meluluskan permintaan itu untuk meningkatkan keupayaannya,” katanya ketika melancarkan Hari Inovasi dan Integriti JTS 2019, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Jaul Samion dan Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Len Talif Saleh.

Dengan pertambahan tenaga kerja itu, Abang Johari yakin JTS bukan sahaja berupaya menangani isu tanah NCR dengan berkesan, malah mampu mengekalkan status sebagai agensi kerajaan negeri cemerlang.

Beliau turut berbangga dengan pencapaian JTS yang berjaya melaksanakan pembaharuan termasuk menghasilkan inovasi Pendaftaran Sehari untuk urusan transaksi tanah.

“Kejayaan ini akan menghilangkan persepsi negatif tentang kelewatan dalam transaksi tanah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JTS, Zaidi Mahdi berkata, seramai 467 pegawai bagi pelbagai kategori sudah diluluskan untuk jabatan itu.

Beliau berkata, sejak kerajaan negeri memperuntukkan RM40 juta untuk Program Penyelidikan Perimeter NCR tahun ini, peningkatan kapasiti akan membolehkan jabatan lebih berkesan dalam melaksanakan tugasnya selaras dengan aspirasi kerajaan.

Berita Harian X