Ahad, 25 Ogos 2019 | 6:12pm
Kerajaan Selangor akan menyiasat sama ada kegiatan mengorek pasir di luar muara Sungai Langat dilakukan secara sah atau sebaliknya. - NSTP/Rosdan Wahid
Kerajaan Selangor akan menyiasat sama ada kegiatan mengorek pasir di luar muara Sungai Langat dilakukan secara sah atau sebaliknya. - NSTP/Rosdan Wahid

Kerajaan Selangor siasat aktiviti korek pasir di Sungai Langat

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyiasat sama ada kegiatan mengorek pasir di luar muara Sungai Langat dilakukan secara sah atau sebaliknya.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata pihaknya memandang serius berhubung isu itu, terutama dakwaan pendapatan golongan nelayan merosot akibat kegiatan berkenaan.

“Kita minta ia disiasat... saya baru dapat laporan mengenai isu ini. Kerajaan negeri tidak keluarkan lesen (mengorek pasir) untuk laut, yang dibenarkan hanya di sungai.

“Kita kena siasat sama ada aktiviti yang dimaksudkan ini adalah aktiviti haram atau mempunyai lesen,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang PKR peringkat Selangor 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita PKR Pusat, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita Selangor, Dr Daroyah Alwi.

Laporan BH semalam mendedahkan pendapatan kira-kira 250 nelayan Pangkalan Kelanang, Kuala Langat merosot sehingga 70 peratus, berikutan kegiatan mengorek pasir di luar muara Sungai Langat sejak empat tahun lalu.

Jika sebelum ini masing-masing mampu memperoleh di antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, kini perolehan mereka merosot hingga di bawah RM1,000 sebulan.

Laporan itu turut mendedahkan kegiatan mengorek pasir, penambakan pesisir pantai serta pencerobohan nelayan asing antara punca utama menjejaskan hasil laut nelayan negara ini.

Kemusnahan hutan bakau pinggir laut, sama ada akibat hakisan atau penebangan secara haram juga menyebabkan hidupan seperti siput dan kerang semakin pupus.

Berikutan itu, pakar alam sekitar, Dr Mohd Yusoff Ishak berkata, kerajaan negeri diminta bertanggungjawab terhadap implikasi yang ditanggung nelayan serta kemusnahan alam sekitar berikutan kegiatan mengorek pasir, penambakan pantai yang berleluasa sejak kebelakangan ini.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia berkata, kerajaan negeri dan pemilik permit korek pasir memperoleh keuntungan besar tetapi nelayan dan penduduk sekitar menanggung kerugian pendapatan serta kehilangan mata pencarian.

Berita Harian X