Sabtu, 24 Ogos 2019 | 3:17pm
Pemilik Nabilicoius Restoran, Mohd Kamil Abu Bakar (depan kanan) mengibarkan Jalur Gemilang bersama pelanggan di Vista Alam. - NSTP/Ihsan Pembaca
Pemilik Nabilicoius Restoran, Mohd Kamil Abu Bakar (depan kanan) mengibarkan Jalur Gemilang bersama pelanggan di Vista Alam. - NSTP/Ihsan Pembaca

Pemilik restoran edar lebih 2,000 Jalur Gemilang sepanjang Ogos

SHAH ALAM: Seorang pemilik restoran mengambil inisiatif mengedarkan Jalur Gemilang kepada pelanggannya sepanjang Ogos ini demi menyemarakkan sambutan kemerdekaan tahun ini.

Pemilik Restoran Nabilicoius, Mohd Kamil Abu Bakar, 60, berkata inisiatif itu dibuat selepas melihat sambutan bulan kemerdekaan yang kurang memberangsangkan berbanding sebelum ini.

Berikutan itu, bermula awal bulan ini, Mohd Kamil, mengedarkan bendera pelbagai saiz kepada semua pelanggannya untuk dikibarkan.

“Sehingga hari ini, hampir 2,000 bendera sudah diedarkan dan dijangka jumlah itu akan bertambah sehingga 31 Ogos ini.

“Saya berharap, semua bendera yang diberikan kepada semua pelanggan akan dikibarkan sama ada di rumah atau kereta mereka,” katanya.

Mohd Kamil berkata, inisiatif dilakukan itu tidak akan terhenti dengan mengagihkan bendera sahaja sebaliknya beliau akan mengadakan sambutan malam Hari Kemerdekaan di kedainya.

“Langkah ini mungkin akan diadakan setiap tahun dan kali ini adalah untuk permulaan.

“Dengan cara ini sahaja saya dapat membantu negara untuk menyemai rasa cinta orang ramai dan membentuk semangat patriotik,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Rahimah Mahmuddin, 86, berkata usaha dilakukan Mohd Kamil itu amat mengharukan.

Katanya, bulan kemerdekaan harus dihargai semua peringkat usia kerana ia menjadikan Malaysia negara aman.

“Dahulu bukan macam sekarang. Dahulu nenek rasa tak bernyawa sebelum negara kita bebas. Setiap hari berasa takut.

“Sekarang semua selamat. Bebas untuk buat apa sahaja. Hargailah jasa semua pihak yang memerdekakan negara ini,” katanya.

Berita Harian X