Khamis, 22 Ogos 2019 | 5:26pm
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob (dua dari kanan) menerima kotak makanan daripada Pengerusi Sahabat Charity Balqish Kedah, Rukiza Abu Bakar bagi misi pendakian Gunung Annapurna, Nepal. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob (dua dari kanan) menerima kotak makanan daripada Pengerusi Sahabat Charity Balqish Kedah, Rukiza Abu Bakar bagi misi pendakian Gunung Annapurna, Nepal. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Hasrat tawan ABC sempena Hari Kebangsaan

ALOR SETAR: Kumpulan pendaki Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah akan berlepas ke Kathmandu, Nepal, Sabtu ini bagi memulakan pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC) sempena Hari Kebangsaan yang ke-62.

Pengarah APM Kedah yang juga Ketua Misi Ekspedisi itu, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob, berkata kesemua 13 peserta terdiri daripada lapan pegawai APM Kedah dan lima wakil kerajaan negeri akan bertolak ke Kuala Lumpur esok sebelum berlepas ke Nepal.

Beliau berkata, mereka dijangka akan melawat pejabat Kedutaan Malaysia di Kathmandu sebelum melakukan pendakian pada tarikh yang ditetapkan.

“Insya-Allah kumpulan kami dijangka sampai ke ABC setinggi 4,130 meter pada 31 Ogos untuk mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan barangan keperluan makanan dari badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Charity Balqish yang disampaikan oleh Pengerusinya, Rukiza Abu Bakar di pejabat APM Kedah, di sini hari ini.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk sembilan NGO selaku penaja sebagai sokongan menjayakan misi kali ini.

Katanya, mereka sudah melakukan persediaan dari segi mental dan fizikal sejak tiga bulan lalu.

Berita Harian X