Khamis, 22 Ogos 2019 | 5:23pm

IPU 404 rekod tertinggi di ILP Miri

MIRI: Stesen pemantauan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) dengan bacaan tertinggi 404 iaitu tahap bahaya di sini, hari ini.

Bacaan itu direkodkan pada jam 8 pagi, namun IPU di kawasan berhampiran termasuk di Senadin, Tudan, Kuala Baram dan Permyjaya berubah disebabkan perubahan tiupan angin dan sedikit hujan di kawasan hutan yang terbakar.

Mengikut laporan JAS kawasan stesen yang merekodkan IPU di tahap bahaya ialah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri.

Sehingga jam 4 petang tadi, stesen Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 204, manakala stesen Miri berada pada kategori sederhana dengan bacaan 93.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong, berkata pihaknya mendapati bekas tapak yang pernah terbakar mengeluarkan asap semula.

“Terdapat beberapa tompok api kecil berdekatan kawasan Lot 3709 di tepi jalan, Lot 3709 di jalan pasir jauh ke hutan dan kawasan berdekatan Kompleks Kebajikan Hamidah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih berada di lokasi kebakaran hutan itu untuk mengawal kebakaran berkenaan.

Berita Harian X