Rabu, 14 Ogos 2019 | 4:47pm
PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Sadim Abdul (tengah) dan Pengarah Bahagian Perlesenan Kenderaan JPJ Malaysia, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus (dua dari kiri) bersama pegawai JPJ, menunjukkan siri nombor kenderaan SYD yang bakal dilancarkan esok untuk bidaan secara online di Kota Kinabalu. - Foto ihsan JPJ

Bidaan siri nombor pendaftaran kenderaan SYD dibuka esok

PENAMPANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyasarkan jumlah kutipan bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan baharu SYD 1 hingga SYD 9999 lebih daripada RM1.5 juta apabila ia mula dibuka kepada orang awam selama lima hari bermula jam 12 tengah malam esok.

Pengarah JPJ, Sabah Sadim Abdul, berkata bidaan itu dilaksanakan melalui sistem JPJeBid yang pertama kali digunakan di Sabah bagi menggantikan sistem manual yang digunakan sebelum ini.

“Bagi yang pertama kali menggunakan sistem ini, mereka perlu mendaftar di dalam portal JPJeBid sebelum boleh membuat bidaan dan kaedah bayaran bidaan ialah dengan menggunakan kad kredit atau kad debit tempatan sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.

Sadim berkata, pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM10 bagi setiap nombor yang dibida.

Bagaimanapun, beliau berkata, setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala bagi perniagaan/syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan.

“Pelaksanaan sistem ini (JPJeBid) adalah salah satu usaha pihak JPJ untuk memberikan perkhidmatan yang lebih telus dan cepat kepada orang ramai selain tiada unsur campur tangan manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata setakat ini lebih RM11.6 juta telah dikutip sejak sistem itu dilaksanakan, dan Putrajaya mencatat kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM3.2 juta diikuti Wilayah Persekutuan RM1.3 juta.

Beliau berkata, sejak sistem itu dilaksanakan sebelum ini setiap masalah yang dihadapi telah diatasi dan keputusan bidaan akan diketahui selewat-lewatnya jam 12 tengah hari keesokan hari selepas tamat tempoh bidaan.

Katanya, banyak masalah yang dihadapi sebelum ini membabitkan pembida yang terlupa kata laluan atau tersalah huruf emel menyebabkan pembida tidak dapat mendaftarkan akaun masing-masing.

“Pihak JPJ memperbaiki penggunaan sistem ini berdasarkan masalah yang dihadapi sebelum ini tetapi jika pembida menghadapi sebarang masalah sepanjang tempoh bidaan ini berlangsung, mereka boleh membuat laporan ke aduan.jpjebidssbh@jpj.gov.my,” katanya. –BERNAMA

541 dibaca
Berita Harian X