Isnin, 12 Ogos 2019 | 11:42am
SEORANG penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh menunjukkan daging landak yang diburu untuk dijadi lauk ketika tinggal di khemah di pinggir hutan. - Foto Ramli Ibrahim

Hati belum tenteram...

GUA MUSANG: “Hati masih belum tenteram biarpun sudah lebih sebulan tinggal di khemah,” kata Kulim Tebu, 72, salah seorang penduduk Orang Asli Suku Batek Kampung Kuala Koh di sini yang tinggal di tepi sungai sejak bulan lalu.

Dia antara 10 penduduk daripada empat keluarga yang berpindah ke Lubuk Kucing dekat kampung itu sejak awal bulan lalu selepas kampung mereka diserang penyakit demam campak sehingga mengakibatkan 15 Orang Asli meninggal dunia.

Bagaimanapun mereka mula pulang ke rumah masing-masing sejak Jumaat lalu.

Kulim berkata, sejak kejadian itu, dia tidak dapat tidur lena kerana masih terkenang dua cucunya, Fayah Papan, 20 dan adiknya, Safia, 18, yang meninggal dunia.

“Kami masih trauma dengan kejadian itu dan sukar untuk lupakan walaupun sudah tiga bulan berlalu.

“Untuk sementara waktu saya akan tinggal di rumah dan mungkin akan berpindah tempat lain untuk mencari ketenangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sejak awal Mei lalu, 15 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh meninggal dunia kerana demam campak dan 112 orang lagi menerima rawatan di hospital berhampiran.

Mereka yang menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK) di kuarantin sementara di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani sebelum dibenarkan pulang 28 Julai lalu.

Sementara itu, Penghulu Orang Asli Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok, 40, pula berkata, kebanyakan ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia kerana penyakit itu belum pulih dari trauma.

“Mereka masih lagi tidak dapat melupakan tragedi yang mengakibatkan beberapa ahli keluarga dan rakan meninggal dunia.

“Untuk melupakan tragedi itu, ada dalam kalangan mereka berpindah tinggal di khemah di pinggir hutan. Bagaimanapun masih ada yang tinggal di rumah masing-masing,” katanya.

Berita Harian X