Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:11pm
Lembu untuk korban mencukupi. - Foto NSTP
Lembu untuk korban mencukupi. - Foto NSTP

Lembu untuk korban mencukupi

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 3,779 ekor lembu ditempah 110 penternak di negeri ini sebagai persediaan untuk ibadat korban sempena Aidiladha tahun ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Mohd Termizi Ghazali, berkata jumlah itu mencukupi untuk menampung permintaan bagi melaksanakan ibadat korban.

“Setakat ini bekalan lembu untuk menampung permintaan di negeri ini mencukupi dan tidak perlu dibawa masuk daripada luar.

“Walaupun ada antara penternak di negeri ini terpaksa menghantar lembu bagi memenuhi tempahan atas urusan perniagaan, tetapi kita tidak berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan haiwan yang menjadi pilihan utama masyarakat Islam di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Mohd Termizi berkata, daerah Kuala Terengganu paling banyak menerima tempahan apabila sebanyak 1,320 ekor lembu dibeli daripada 16 penternak, diikuti Kemaman membabitkan 615 ekor daripada 11 penternak.

“Jumlah lembu ditempah daripada 19 penternak di Marang adalah sebanyak 568 ekor, Kuala Nerus (562 ekor membabitkan 18 penternak), Dungun (450 ekor membabitkan 30 penternak), Hulu Terengganu (377 ekor daripada 18 penternak), Setiu (235 ekor daripada 12 penternak) dan 29 ekor daripada empat penternak di Besut,” katanya.

Berita Harian X