Rabu, 7 Ogos 2019 | 3:16pm
Chen Choon memeriksa plastik yang dipercayai di bawa masuk secara haram dari United Kingdom dan Ireland yang dikitar semula di sebuah kilang ketika Ops Bersepadu kilang haram di Pasir Gudang baru-baru ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
Chen Choon memeriksa plastik yang dipercayai di bawa masuk secara haram dari United Kingdom dan Ireland yang dikitar semula di sebuah kilang ketika Ops Bersepadu kilang haram di Pasir Gudang baru-baru ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

JAS siasat tapak pelupusan sampah haram di Kempas

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang melengkapkan kertas siasatan berkenaan pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Banjaran 15, Kempas, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon, berkata ada masalah api bawah tanah yang berterusan serta pembakaran terbuka di tapak pelupusan haram itu.

Katanya, aduan mengenai masalah itu sudah disiasat oleh JAS dan kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dikemukakan dan tindakan undang-undang oleh Timbalan Pendakwa Raya.

“Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri juga sudah mengeluarkan notis 7A mengikut peruntukan Seksyen 128, Kanun Tanah Negara kepada pemilik tanah yang terbabit supaya memulihkan keadaan tanah sebagaimana syarat nyata tanah.

“Tambahan pula, satu mesyuarat khas sudah diadakan agensi dan jabatan kerajaan yang merumuskan beberapa langkah yang akan diambil.

“Antaranya pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bersetuju sebuah ‘long-arm excavator’ akan disewa bagi mengatasi masalah kebakaran dengan cara mengorek timbunan sampah yang terbakar dan membanjirkan dengan air melalui hos pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Chen Choon berkata, pihak bomba juga akan menyediakan jentera mereka di lokasi kebakaran 24 jam selain pihak Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) akan membekalkan air untuk disalurkan kepada jentera bomba.

“Pihak SWCorp dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta untuk menyediakan sebuah lagi “long-arm excavator” dan operasi pemadaman ini dijangka dibuat secara berterusan selama seminggu selain akan dipantau setiap hari oleh agensi yang berkenaan.

“Pihak MBJB akan membuat penutupan laluan masuk ke dalam tapak ini menggunakan penghadang konkrit supaya kejadian ini tidak berulang semula,” katanya.

Katanya, beliau menegaskan supaya pengusaha dan pemilik tanah perlu bertanggungjawab ke atas tanah masing-masing serta tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Tindakan undang-undang yang tegas termasuk mengambil semula tanah terbabit dengan cara melucut hak mengikut Seksyen 129 Kanun Tanah Negara kerana pelanggaran syarat tanah atau mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, kerana melakukan pembakaran terbuka.

“Kerajaan negeri memandang serius terhadap isu alam sekitar. Situasi di Bukit Kempas akan diperhatikan secara berterusan oleh saya supaya kesejahteraan masyarakat setempat terjamin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan, berkata semua 403 murid termasuk prasekolah serta 32 guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Kempas di sini, setakat ini tidak terjejas dengan pembakaran di tapak pelupusan sampah haram berkenaan.

“Tidak ada muntah, tidak ada sesak nafas, cuma dari segi tidak selesa dengan asap (bau) yang ada. Justeru, kita berikan topeng muka, dari segi gangguan kesihatan buat masa ini tidak ada,” katanya ditemui selepas menyerahkan 1,000 topeng muka ke SK Taman Bukit Kempas, yang terletak kira-kira satu kilometer dari tapak pelupusan sampah haram berkenaan.

Berita Harian X