Sabtu, 3 Ogos 2019 | 4:56pm
Lembu yang diberi nama ‘Mr Trump’ bernilai RM20,000 mendapat perhatian orang ramai ketika mengunjungi sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan, di Pantai Bisikan Bayu, hari ini. - Foto BERNAMA

'Mr Trump' seberat lebih satu tan dapat perhatian

PASIR PUTEH: Seekor lembu yang diberi nama sebagai ‘Mr Trump’ dan bernilai RM20,000 yang dipamerkan pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kelantan di Pantai Bisikan Bayu di sini, menarik perhatian ramai.

Pengurus Ladang Cancun Park, Bukit Tuku, Pasir Mas Nasrul Saat, berkata lembu dari baka “American Gray Brahman” seberat lebih satu tan yang dibawa dari Ladang berkenaan diimport dari Amerika Syarikat melalui Thailand.

“Lembu tersebut adalah satu-satunya yang ada di negara ini,” kata beliau kepada Bernama ketika ditemui pada hari acara sambutan itu selama lima hari yang berakhir esok.

Turut dipamerkan adalah puluhan lembu kacukan yang lain termasuk kambing, arnab, rusa dan kerbau yang sehingga ini dikunjungi lebih 10,000 pengunjung termasuk Terengganu sejak dibuka kepada orang ramai Rabu lepas.

Nasrul berkata, tujuan lembu itu dipamerkan untuk mendedahkan kepada orang ramai bahawa mereka berpeluang menternaknya secara komersial di kawasan rumah masing-masing.

Beliau berkata, kaedah menternaknya tidak menyukarkan manakala bahan makanannya pula boleh diproses sendiri menerusi bahan-bahan yang mudah diperolehi di kampung termasuk jerami padi dan dedak yang dihasilkan dari ubi kayu yang pokoknya boleh ditanam di kawasan rumah secara meluas .

Bagaimanapun mereka yang berminat boleh menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk mendapatkan baka yang dihasilkan melalui kaedah permanian beradas kerana pihak ladang itu tidak mempunyai kepakaran mengenainya.

Katanya, jika kaedah penjagaan dan pemakanannya diurus dengan betul lembu berkenaan boleh membesar lebih 1 kilogram sehari selepas 90 hari menternaknya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Hussin Samat, 53, berkata inilah pertama kali beliau berpeluang melihat lembu berkenaan secara dekat yang selama ini beliau hanya melihat menerusi kaca televisyen sahaja.

“Pada mulanya, saya terkejut kerana menyangka ia seekor anak gajah,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X