Khamis, 1 Ogos 2019 | 7:08pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. - Foto Owee Ah Chun

Harga menarik bagi tanah Kampung Baru - Khalid

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, mengesahkan kerajaan akan mengemukakan tawaran harga menarik untuk membeli tanah milik penduduk di Kampung Baru dalam pertemuan pada 21 September ini.

Katanya, tawaran pembelian itu lebih munasabah sejajar dengan pasaran semasa hartanah berkenaan, sekali gus menepati kehendak pemiliknya.

Beliau berkata kementeriannya sudah melantik penilai hartanah untuk membuat penilaian tanah milik penduduk.

“Ya, kita akan mengemukakan tawaran lebih menarik untuk membeli tanah milik penduduk di Kampung Baru,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Khalid enggan mendedahkan jumlah tawaran berkenaan, sebaliknya meminta media menunggu sehingga pengumuman mengenainya dibuat pada 21 September ini.

Katanya, beliau sendiri bersama wakil Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) akan membuat pengumuman berkenaan.

Perjumpaan yang dijadual diadakan di Dewan FELDA di Jalan Maktab di sini itu dijangka turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selasa lalu, muka depan akhbar ini mendedahkan, kerajaan akan mengemukakan tawaran harga menarik untuk membeli tanah milik penduduk di Kampung Baru dalam pertemuan yang akan diadakan September ini.

Tawaran pembelian itu bagaimanapun hanya membabitkan pemilik tanah terletak dalam kawasan seluas 89 hektar merangkumi 879 lot yang diwartakan sebagai kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Zulkurnain Hassan, berkata pengumuman mengenai harga itu akan dibuat sendiri kerajaan pada hari berkenaan.

Berita Harian X