Rabu, 31 Julai 2019 | 3:59pm
Kumpulan penyelam dari Spark Divers Club Taman-Taman Sabah (TTS) membawa naik 72 kilogram (kg) pukat hantu yang ditemui tersangkut di batu karang. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Kumpulan penyelam dari Spark Divers Club Taman-Taman Sabah (TTS) membawa naik 72 kilogram (kg) pukat hantu yang ditemui tersangkut di batu karang. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Penyelam bawa naik 72kg pukat hantu

KOTA KINABALU: Sekumpulan penyelam yang menyertai aktiviti membersihkan dasar laut Taman Tunku Abdul Rahman, di sini, membawa naik 72 kilogram (kg) pukat hantu yang ditemui tersangkut di batu karang, hari ini.

Aktiviti itu dijalankan di kawasan menyelam Menggaris di Pulau Gaya dan Coral Garden di Pulau Sapi.

Pengerusi Lembaga Amanah Taman-Taman Sabah, Mohd Amin Abdul Mem, berkata kebanyakan pukat terbabit hanyut ke kawasan taman berkenaan sebelum tersangkut di batu karang dan mengancam hidupan marin.

“Kita mengambil serius ancaman terhadap alam sekitar terutama kawasan taman marin yang dilindungi. Taman-Taman Sabah menerima banyak aduan mengenai kehadiran pukat hantu dan kita mengambil tindakan segera untuk menanganinya.

“Pada masa sama, kita juga mengambil langkah untuk memastikan aktiviti pembersihan itu tidak menyebabkan kerosakan terhadap terumbu karang,” katanya pada program pembersihan pukat hantu dan pelancaran Kelab Menyelam Taman-Taman Sabah (Sparks) di Pulau Manukan, di sini, hari ini.

Program berkenaan yang diadakan bersempena ulang tahun ke-45 Taman-Taman Sabah turut dihadiri pengarahnya, Dr Jamili Nais dan Pengurus Taman Tunku Abdul Rahman, Anthony Tinggi.

Mohd Amin berkata, bagi pukat hantu yang sudah terlalu lama berada di bawah laut, ia perlu diteliti sama ada boleh dibuka atau tidak memandangkan ia sudah menjadi sebahagian daripada terumbu karang.

Katanya, Taman-Taman Sabah kekal komited ke arah melindungi biodiversiti marin dengan penubuhan kelab menyelamnya sendiri yang merangkumi kira-kira 100 kakitangan agensi itu di seluruh negeri.

“Kelab ini membolehkan pelbagai aktiviti berkonsep pemulihan marin dilaksanakan dan menjadi harapan saya untuk melihat lebih ramai rakyat negeri ini menjadi penyelam skuba.

“Kita juga menggalakkan nelayan untuk meluaskan kemahiran dan mendedahkan diri dengan pemikiran pelancongan sejajar pertumbuhan pesat sektor pelancongan negeri ini.

“Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan kepentingan pemeliharaan marin dalam kalangan komuniti nelayan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X