Rabu, 31 Julai 2019 | 11:47am
Rohaida sudah 50 kali menderma darah dengan purata tiga atau empat kali setahun.
Rohaida sudah 50 kali menderma darah dengan purata tiga atau empat kali setahun.

Derma darah jadi rutin bulanan

KOTA BHARU: “Menderma darah sudah menjadi sebahagian rutin bulanan saya sejak menuntut di universiti, ” kata ahli perniagaan, Rohaida Omar, 46.

Rohaida yang juga bekas wartawan sambilan BH, berkata sudah 50 kali dia menderma darah dengan purata tiga atau empat kali setahun sama ada di Unit Tabung Darah Hospital Kuala Krai atau pada program kempen menderma darah.

Katanya, kali pertama dia menderma darah ketika berusia 20 tahun apabila disarankan sahabatnya yang juga seorang doktor supaya menderma darah bagi menghilangkan jerawat yang agak serius.

“Pada mulanya saya takut hendak menderma darah kerana mendengar kononnya selepas menderma darah, berat badan akan naik mendadak, selain berisiko mendapat penyakit berjangkit.

“Namun, saya mengetepikan perasaan takut dan semua andaian kerana mungkin dengan cara itu saya dapat menghilangkan jerawat di muka.

“Alhamdulillah, selepas tiga kali menderma darah, saya mula melihat perubahan pada kulit muka dan jerawat semakin berkurangan. Sejak itu saya menjadi penderma darah tetap hingga ke hari ini,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, kebiasaannya dia akan menderma darah tiga atau empat bulan sekali bagi mengisi tabung darah untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Namun, apabila saya mengandung atau selepas melahirkan anak, saya akan berhenti menderma darah dalam tempoh dua tahun kerana ia tidak digalakkan, selain bimbang akan memudaratkan kesihatan.

“Selain menyelamatkan nyawa orang lain, pada masa yang sama amalan ini juga baik untuk kesihatan.

“Justeru itu, saya menyeru kepada mereka yang layak supaya menderma darah kerana setiap kali berbuat demikian kita dapat menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya yang tinggal di Kampung Tualang, Kuala Krai.

Katanya, keprihatinannya menderma darah turut mendapat penghargaan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Penderma Darah Terbaik Sempena Hari Kesihatan Negeri Kelantan 2019.

Rohaida berkata, lebih istimewa, setiap kali ditahan di wad, mengambil ubat di farmasi hospital atau menjalani pembedahan, dia langsung tidak dikenakan bayaran.

“Pada awal Julai lalu, saya menjalani pembedahan di bahagian hidung kerana penyakit resdung dan diberitahu tidak perlu membayar bil hospital,” katanya.

Berita Harian X