Selasa, 30 Julai 2019 | 2:18pm
Amir Dzulfadli melawat tapak projek program TKPM Inderapura Fertigasi Fasa Tiga, di Kuantan. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Galak belia ceburi sektor pertanian

KUANTAN: Sembilan unit rumah tanaman disediakan pihak Pejabat Pertanian daerah di sini, bagi menggalakkan golongan belia menceburi bidang pertanian.

Pegawai Pejabat Pertanian daerah, Amir Dzulfadli Samad, berkata kemudahan itu disediakan menerusi program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura Fertigasi Fasa Tiga bermula Oktober ini.

Beliau berkata, seramai enam peserta akan dipilih bagi menjayakan projek atas tanah seluas dua hektar itu dengan kontrak selama tiga tahun.

Katanya, permohonan untuk menyertai projek terbabit masih dibuka dan keutamaan diberikan kepada golongan belia dan siswazah berminat dalam bidang pertanian.

“Sehingga kini, sebanyak 15 permohonan sudah diterima dan proses temu duga akan dilakukan selepas ini bagi memilih enam peserta yang layak,” katanya selepas meninjau penyediaan kemudahan projek itu, semalam.

Amir Dzulfadli berkata, peserta yang terpilih hanya dibenarkan menanam tanaman bernilai tinggi seperti cili dan Rock Melon yang kini mendapat permintaan tinggi.

Beliau berkata, peserta yang terpilih perlu menyediakan modal awal antara RM25,000 hingga RM30,000 bagi menyediakan kelengkapan tanaman termasuk benih.

Katanya, kini terdapat 16 peserta TKPM fasa pertama dan kedua mengusahakan tanaman sayuran seperti timun, cili, peria, halia bentong dan terung menggunakan kaedah fertigasi.

“Saya berharap projek TKPM Inderapura fertigasi fasa tiga ini akan mencapai kejayaan seperti fasa pertama dan kedua yang mengeluarkan sayur setiap bulan.

“Justeru, pemilihan peserta amat dititikberatkan. Minat sahaja tidak menjamin permohonan mereka berjaya,” katanya.

Berita Harian X