Sabtu, 27 Julai 2019 | 1:25pm
TIMBALAN Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Kamarudin Lajim menyampaikan sijil penghargaan kepada Ismail Ibrahim pada Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Pustaka Negeri, Petra Jaya, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad
TIMBALAN Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Kamarudin Lajim menyampaikan sijil penghargaan kepada Ismail Ibrahim pada Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Pustaka Negeri, Petra Jaya, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

144 kali derma darah sejak 1979

PETRA JAYA: Kesulitan dialami sahabat baiknya untuk mendapatkan bekalan darah bagi menjalani pembedahan selepas terbabit kemalangan, menjadi detik pendorong kepada Ismail Ibrahim, 61, untuk menderma darah, 40 tahun lalu.

Ismail berkata selepas kejadian itu, beliau terus menjadi penderma darah tetap sehingga kini.

Keseluruhannya, bekas kakitangan syarikat swasta itu sudah menderma darah sebanyak 144 kali, dengan purata tiga kali setahun sejak 1979.

“Kali pertama saya menderma darah pada usia 21 tahun kerana terpanggil untuk menyelamatkan nyawa kawan saya iaitu Saini Bujang yang mengalami kemalangan pada 1979.

“Syukur alhamdulillah, selepas menjalani pembedahan dan menerima darah yang saya derma, rakan saya itu kembali sihat sehingga sekarang,” katanya.

Ismail menerima penghargaan antara penderma darah terbanyak sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Pustaka Negeri, di sini hari ini.

Penghargaan itu disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Kamarudin Lajim.

Menurut Ismail, keprihatinannya menderma darah turut mendapat penghargaan pelbagai pihak sebelum ini termasuk dianugerahkan pingat Bentara Bintang Sarawak (BBS).

Bagaimanapun, katanya, beliau bukan mengejar penghargaan, sebaliknya menjadikan menderma darah sebagai amalan untuk menjaga kesihatannya.

“Saya menderma darah demi menyelamatkan nyawa orang lain dan pada masa yang sama, amalan ini juga baik untuk kesihatan kita,” katanya.

Berita Harian X