Jumaat, 26 Julai 2019 | 11:19pm

SAM tetap tolak projek tambak laut

GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) tetap dengan pendirian untuk menolak projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) walaupun kerajaan negeri mengumumkan bersedia untuk mengkaji semula skala pembangunan projek mega itu.

Presidennya, Meenakshi Raman, berkata mengecilkan projek berkeluasan 1,700 hektar itu tidak akan menyelesaikan masalah asas yang akan dihadapi oleh nelayan, penduduk setempat, dan rakyat Pulau Pinang secara amnya.

“Mengecilkan PSR masih boleh menjejaskan ekosistem alam sekitar yang sensitif dan ia masih boleh memberikan kesan sampingan yang serius kepada sosio-ekonomi pada masa depan.

“Seperti mana yang kami tekankan sebelum ini, projek PSR ini akan memusnahkan sumber perikanan kita yang amat berharga, dan ia adalah tindakan yang sangat tidak masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, semalam memaklumkan kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan semula saiz projek PSR jika mendapat dana daripada Kerajaan Pusat untuk membiayai pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) dan Lebuhraya Pan Island Link (PIL) yang bernilai RM20 bilion.

Beliau berkata, mesyuarat EXCO minggu lalu memutuskan untuk kerajaan negeri menghantar surat permohonan mendapatkan dana daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, cadangan untuk mendapatkan pembiayaan Kerajaan Persekutuan bagi dua projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang itu adalah satu pembaziran, selain hanya meningkatkan hutang kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, SAM menggesa mengadakan satu kajian bebas terhadap PIP supaya dapat melaksanakan pelan pengangkutan alternatif yang lebih murah dan mesra alam sekitar.

“SAM dan kumpulan masyarakat sivil lain yang prihatin secara konsisten menggesa supaya kajian semula PIP oleh badan bebas dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah lalu lintas kita,” katanya.

Awal bulan ini, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek PSR dengan 72 syarat, namun beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Persatuan Nelayan Pulau Pinang kekal membantah pelaksanaan projek terbabit.

Berita Harian X